TREK jogging Sisiran Tasik digunakan sebagai jalan pintas oleh segelintir penunggang motosikal untuk urusan seharian.  FOTO Samadi Ahmad
TREK jogging Sisiran Tasik digunakan sebagai jalan pintas oleh segelintir penunggang motosikal untuk urusan seharian. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad


Putrajaya: Orang ramai yang menjalankan aktiviti riadah di Sisiran Tasik, di sini, bimbang apabila trek jogging itu digunakan sebagai jalan pintas oleh segelintir penunggang motosikal bagi urusan seharian.

Sikap pentingkan diri dan ambil mudah dilakukan penunggang motosikal itu mengundang bahaya kepada pengunjung disebabkan sebahagian mereka menunggang laju dan boleh membahayakan pejalan kaki.

Tinjauan Harian Metro mendapati, penunggang motosikal yang melalui trek ini menjadikan laluan itu sebagai jalan pintas untuk ke tempat kerja termasuk pekerja syarikat pembersihan yang bertugas di kawasan itu.

Trek itu turut dilalui kenderaan berat seperti lori syarikat pembersihan ketika pengunjung sedang beriadah pada waktu pagi tanpa menghiraukan kehadiran orang ramai.

Kakitangan swasta, Nur Amalina Jasiman, 36, dari Presint 8 mengakui, keadaan ini merisaukan pengunjung yang hendak melakukan riadah kerana berasa kurang selamat dan terdedah kepada kemalangan.

Katanya, dia sering ke kawasan itu bersama dua anak kecil bagi melakukan aktiviti berbasikal dan tidak boleh membayangkan sekiranya motosikal yang dipandu secara laju tidak sempat membrek lalu merempuh pengunjung yang sedang beriadah.

"Saya merasa hairan bagaimana kenderaan berat dan motosikal boleh memasuki trek ini sedangkan di laluan masuk sudah diletakkan papan tanda arahan menyatakan semua kenderaan tidak dibenarkan kecuali aktiviti berbasikal".

"Pihak berkuasa tempatan khususnya Perbadanan Putrajaya (PPj) diharap dapat turun padang memantau masalah ini bagi mengelak kejadian tidak diingini, " katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasa

Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj Mohd Ali Jusoh berkata, pihaknya mengakui terdapat segelintir pengguna kenderaan yang menggunakan trek jogging itu sebagai jalan pintas daripada menggunakan laluan jalan raya.

Menurutnya, walaupun PPj sudah memasang pagar dan meletakkan tanda amaran tidak membenarkan kenderaan masuk, namun arahan ini diabaikan yang dikhuatiri akan menimbulkan risiko kemalangan kepada pengguna yang sedang beriadah.

Katanya, semua kenderaan tidak dibenarkan menggunakan dan melalui laluan Sisiran Tasik ini kecuali kenderaan penyelenggaraan yang telah dibekalkan dengan pelekat khas.

"Individu yang ingkar boleh dikompaun mengikut Undang-Undang Kecil Taman (Wilayah Persekutuan Putrajaya) 2002".

"Pegawai Penguat Kuasa sentiasa memantau masalah ini dan penunggang motosikal dinasihatkan supaya tidak mementingkan diri agar dapat mewujudkan suasana yang harmoni dan selesa di kawasan riadah selain mengelak risiko

kemalangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 12:19 PM