Zaid Salim

Kuala Terengganu: "Ibu menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuan saya. Saya sempat mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum ibu pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.

"Sebelum itu, ibu minta saya urutkan kaki dan tangannya. Tidak lama selepas itu, saya dapati tangan dan kakinya kejang," kata Ainin Syafina Abdullah,16.

Ainin Syafina berkongsi detik terakhir ibunya, Emellia Mat Husin, 37, yang meninggal dunia kira-kira jam 1.50 pagi tadi di rumah sewa mereka di Kampung Gelong Gajah, Bukit Depu, di sini, hari ini.

Menurutnya, ibunya meninggal dunia akibat radang paru-paru dan masalah jantung.

Katanya, ibunya dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas mengalami semput pada Isnin lalu sebelum dibenarkan keluar semalam.

Bercerita lanjut, Ainin Syafina berkata, biarpun sedih dia bersyukur kerana arwah ibu pergi ketika dia bersama tiga lagi adik, Aleesya Annabella, 11, Adriana Maisarah, 5, dan Muhammad Hayat Irfan, 2, berada di sisi arwah.

"Sejak ibu sakit sebulan lalu, kami tidak pernah berpisah dengannya. Malah ibu minta kami tidur dan menemaninya di bilik dan tidak benarkan kami tidur di bilik berasingan.

"Hanya tangisan, peluk cium dan ratapan yang mengiringi pemergian ibu. Kami tidak sangka ibu akan pergi kerana ketika keluar daripada hospital semalam, ibu kelihatan semakin sihat dan bermesra dengan adik-adik.

"Cuma sedikit terkilan, kakak sulong yang sudah berkeluarga, Ainin Sofiya, 21, kini menetap di Kuala Lumpur tidak ada ketika ibu menghembuskan nafas terakhir," katanya ketika ditemui di rumah sewa mereka di Kampung Gelong Gajah, Bukit Depu, di sini.

Ainin Syafina berkata, dia sempat menghidangkan mee sup dan memberikan ibunya ubat kira-kira jam 5 petang semalam sebaik tiba di rumah selepas dibenarkan keluar dari hospital.

"Ibu minta keluar hospital kerana mahu berbincang dengan anak-anak selepas doktor menyarankan melakukan pemeriksaan lanjut selepas mendapati beberapa saluran jantungnya tersumbat," katanya.

Ainin Sofiya (kiri) bersama adik beradiknya, Ainin Syafina, 16, Aleesya Annabella (kanan), 11, Adriana Maisarah, 5, dan Muhammad Hayat Irfan, 2, di rumah sewa arwah ibunya di Kampung Gelong Gajah, Bukit Depu. FOTO ZAID SALIM
Ainin Sofiya (kiri) bersama adik beradiknya, Ainin Syafina, 16, Aleesya Annabella (kanan), 11, Adriana Maisarah, 5, dan Muhammad Hayat Irfan, 2, di rumah sewa arwah ibunya di Kampung Gelong Gajah, Bukit Depu. FOTO ZAID SALIM

Dia yang menamatkan persekolahan ketika berusia 14 tahun berkata, ketika hayat, ibu sering berpesan supaya menjaga adik-adik dan disebabkan itu juga dia mengambil keputusan berhenti sekolah.

"Saya terpaksa berkorban kerana tiada sesiapa yang akan menjaga adik-adik ketika ibu keluar bekerja selain kesempitan hidup.

"Keadaan kami semakin susah dan rumit apabila keadaan ibu semakin tidak sihat dan terpaksa berhenti kerja. Sebab itulah sejak akhir-akhir ini ibu pernah bersuara untuk tinggal dengan nenek di Pahang," katanya.

Katanya, sebelum ini, ibunya pernah menyatakan hasrat untuk kembali tinggal bersama datuk dan nenek berikutan kesempitan hidup.

Anak sulong arwah, Ainin Sofiya berkata, dia menerima panggilan daripada adiknya, Ainin Syafina jam 2.30 pagi memberitahu ibu sudah tiada.

"Saya bersama suami serta dua anak perempuan berusia dua tahun dan 31 hari segera pulang dan tiba jam 10 pagi.

"Syukur kerana dapat menatap wajah ibu buat kali terakhir sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sheikh Ibrahim jam 10.30 pagi tadi," katanya.

Ainin Sofiya juga menyatakan rasa terkilannya kerana arwah ibu tidak sempat melihat secara berdepan cucu kedua yang lahir pada 1 Julai lalu.

Sementara itu, nenek kepada kanak-kanak terbabit, Faridah Endut, 63, berkata, dia akan menunaikan hasrat arwah untuk tinggal bersamanya walaupun tanpa kehadirannya.

"Arwah pernah memberitahu keadaan dia susah dan mahu tinggal bersama saya di Chendor, Pahang. Saya akan membawa mereka pulang ke Pahang, Selasa ini," katanya.

Menurutnya, ketika dirawat di wad, arwah kerap menghubunginya menerusi panggilan video memohon ampun dan maaf.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Ogos 2021 @ 8:06 PM