FOTO hiasan
FOTO hiasan
Anis Syuhada Mohd Rosli dan Natrah Laili Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di negara meningkat pada kadar membimbangkan menyebabkan stok ubat di farmasi semakin berkurangan.

Hasil tinjauan wartawan Harian Metro di beberapa farmasi sekitar ibu kota hari ini mendapati bekalan ubat berkurangan terutamanya paracetamol, ubat batuk dan antibiotik untuk merawat penyakit HFMD.

Pembantu farmasi, Muizzudin Mohammad Moharam berkata, dia tidak menafikan berlaku kekurangan beberapa stok ubat sejak tiga hari lalu.

"Pada musim penyakit HFMD ini, kebanyakan ibu bapa mencari ubat sembur mulut atau tekak seperti Aftamed, Gengigel atau Alcoclair, tetapi ubat ini kekurangan stok.

"Saya sarankan pelanggan mencari ubat-ubatan lain bagi mengawal simptom penyakit HMFD seperti Oradex, Tyhmol Gargel, Zecuf Lozanges dan Cleaq," katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang lagi pembantu farmasi, Nur Balqis Azzam, 26, berkata pihaknya mengalami kehabisan stok terutama ubat ulser mulut disebabkan peningkatan kes HFMD.

Katanya, ubat ulser yang dijual berharga RM32.90 itu juga mendapat perhatian pelanggan kerana ia boleh sembur terus ke tekak berbanding menggunakan ubat gel.

"Sejak peningkatan kes ini, kami tidak dapat membuat penambahan stok kerana pembekal juga turut mengalami kehabisan stok ubat ulser sejak dua minggu lalu," katanya.

Balqis berkata, pihaknya turut mencari alternatif lain untuk mempelbagaikan jenama ubat kerana pelanggan kebiasaannya akan membeli ubat yang tular di media sosial sahaja.

"Macam kes HFMD ini, terdapat satu ubat ulser jenama 'A' yang menjadi rebutan pelanggan kerana ia menerima maklum balas yang positif.

"Namun, pihak farmaseutikal cuba terbaik untuk mencari jenama lain yang selamat digunakan serta menggunakan bahan sama walaupun jenama berbeza.

"Selain itu, bekalan ubat selesema juga semakin berkurangan namun kami cuba pelbagaikan jenama ubat supaya dapat membantu ibu bapa dalam merawat anak mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 4:57 PM