Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Tindakan segelintir individu menjadikan kipas sebagai makmum ketika bersolat dianggap sebagai memperlekehkan agama serta ibadat.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, masyarakat Islam dinasihati supaya tidak mengikut perbuatan itu kerana ia memperlekehkan agama ketika melaksanakan ibadat.

"Islam tidak suruh melakukan perbuatan seperti ini, solat berkipas itu boleh tetapi memakaikan telekung kepada kipas yang dianggap sebagai jemaah bersama, saya ingat ini memperlekeh-lekehkan agama dan ibadat.

"Orang Islam saya nasihati jangan melakukan perbuatan ini. Kita melakukan ibadat tetapi pada masa sama, kita memperlekehkan amalan dalam Islam," katanya ditemui di Pusat Dakwah Islamiah Paroi di sini, hari ini.

Beliau mengulas tular trend dalam media sosial mengenai perbuatan individu tertentu menunaikan solat fardu dimakmumkan kipas yang dipakaikan telekung atau baju Melayu.

Tindakan itu dikatakan mahu merasai bagaimana solat bersama pasangan seperti suami isteri.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya menggesa masyarakat Islam supaya belajar dan mendalami agama dengan betul kerana dalam solat, ada adab dan maksud ibadat itu sendiri yang perlu diambil kira.

"Ibadat adalah perkara yang perlu diambil serius serta tidak boleh dibuat sebagai alat mainan.

"Jadi, semua umat Islam, dalam apa juga jenis ibadat, jangan jadikan sebagai bahan gurauan dan selaan," katanya yang turut memaklumkan, sehingga kini JHEAINS tidak menerima sebarang laporan mengenai kegiatan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Negeri Sembilan mempunyai kaedah tersendiri dalam mengawal aktiviti kumpulan tarekat menerusi Enakmen Tasawuf (Negeri Sembilan) 2005 yang sudah diwartakan.

Menurutnya, setiap pengamalan tarekat di Negeri Sembilan perlu didaftarkan di Bahagian Pendaftar Tarekat Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS).

"Semua amalan yang dibawa kumpulan tarekat akan diproses oleh jawatankuasa yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan sebelum jawatankuasa fatwa meluluskan.

"Pengamalan tarekat yang dibawa perlu dilakukan di pusat tarekat masing-masing dan sekiranya mereka ingin amalkan di tempat lain, perlu mendapat kebenaran terlebih dulu daripada Bahagian Pendaftar Tarekat JMNS.

"Itu cara kita mengawal dan di Negeri Sembilan, kalau kita sebut tarekat, tiada yang salah, yang salah adalah tarekat yang tidak berdaftar (dengan JMNS)," katanya.

Mohd Zaidi berkata, setakat ini aktiviti tarekat di Negeri Sembilan terkawal kerana pendaftar memainkan peranan menegur, begitu juga jawatankuasa fatwa.

"Suatu ketika dulu, kita pernah dengar orang berzikir dalam gelap, pendaftar menasihati supaya tiada lagi amalan seperti itu dilakukan.

"Semua tarekat yang mengamalkannya akur dan ini kesannya, cara kita kawal melalui enakmen berkenaan," katanya.

 Zaidi Ramli.
Zaidi Ramli.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 12:59 PM