Hajiji Noor (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini. FOTO BERNAMA
Hajiji Noor (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini. FOTO BERNAMA
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dilancarkan secara rasmi hari ini menggariskan empat teras utama perjuangan gabungan berkenaan.

Ia adalah Sabah First atau Sabah Diutamakan, Sabah Forward atau Sabah Melangkah Ke Hadapan, Sabah Prosper atau Sabah Makmur dan Sabah United atau Sabah Yang Bersatu.

Ketua Menteri selaku Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor berkata, empat teras itu adalah tambahan kepada Agenda Sayangi Sabah yang termaktub dalam Akujanji GRS pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16), September 2020.

Katanya, menerusi teras Sabah First, GRS menetapkan misi untuk menganjak status Sabah pada kedudukan teratas dalam pelbagai aspek pembangunan selain menjadi pegangan untuk langkah susulan bagi siri rundingan berkaitan tuntutan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Sabah First tidak bermaksud bahawa kita mengenepikan kepentingan nasional, namun sebagai wadah tempatan, amanah dan tanggungjawab besar kita adalah memperjuangkan kepentingan negeri sebagai keutamaan nombor satu.

"Kita yakin dan percaya, sebagai salah satu komponen penting negara, matlamat membina Sabah yang lebih maju dan berjaya perlu diangkat sebagai agenda nasional demi menjamin kemakmuran dan kelestarian Persekutuan Malaysia," katanya pada Majlis Pelancaran GRS di sini, hari ini.

Turut hadir, tiga Timbalan Pengerusi GRS iaitu Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Datuk Yong Teck Lee selaku Presiden Parti Maju Sabah (SAPP).

Hadir sama Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat.

PBS, STAR, SAPP dan USNO bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah menjadi komponen parti yang membentuk GRS selepas gabungan itu didaftarkan sebagai entiti politik baharu pada Mac lalu.

Sementara itu, Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah berkata, teras kedua menekankan usaha membentuk pemikiran, menghalakan perspektif dan memimpin tindakan secara strategik dan berfokus dalam membina masa depan negeri.

Sementara teras ketiga, katanya, untuk GRS menekankan kesungguhan dan komitmen dalam melaksana serta menjayakan Agenda Sayangi Sabah melalui pelan pembangunan negeri, Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Alhamdulillah, sebagaimana yang dibentangkan dalam Majlis Setahun Hala Tuju SMJ baru-baru ini, banyak kemajuan yang sudah mula dicapai," katanya.

Bagi teras terakhir, Sabah United, Hajiji berkata, ia merujuk kepada kepentingan kesatuan rakyat Sabah dalam mencapai tiga teras awal.

GRS turut menggariskan dua prinsip politik dalam menggerakkan gabungan berkenaan iaitu Politik Pembangunan dan Politik Akomodasi atau keterbukaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 3:49 PM