GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) yang bakal disambut pada 29 Mei ini, akan menampilkan Deklarasi Melaka yang menggariskan hala tuju kewartawanan dan industri media negara.

Hawana adalah satu pengiktirafan dan penghargaan kerajaan atas sumbangan pengamal media dalam membantu membangunkan negara dan mengukuhkan perpaduan masyarakat.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut dijadual menyertai lebih 700 pengamal media Ahad ini.

Beliau akan menyampaikan ucapan perasmian Majlis Kemuncak Hawana di Hotel Hatten, Melaka pukul 2.30 petang.

Sambutan perayaan terbesar khusus untuk pengamal media ini juga akan menyaksikan kehadiran wartawan dari beberapa negara Asean.

Selain itu, sambutan Hawana 2022 bertemakan 'Suara Jelata, Aspirasi Negara' akan bermula esok dengan semua pengamal media diraikan pada majlis makan malam anjuran kerajaan negeri.

Tetamu kehormat majlis makan malam adalah Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam selain Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali serta Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Sambutan kali ini ini juga akan menyaksikan penghormatan diberikan kepada wartawan profesional selain individu dan organisasi menerusi Anugerah Hawana 2022.

Penerima dipilih berdasarkan memberi sumbangan besar, bukan sahaja dalam bidang kewartawanan, tetapi juga dalam membentuk minda rakyat menerusi karya yang dihasilkan.

Pada sebelah pagi, Forum Media Nasional akan diadakan sebagai platform bagi ketua pengarang, pengarang dan tokoh media berbincang mengenai kepentingan masa depan industri media, terutama apabila berhadapan perubahan teknologi serta persekitaran yang semakin mencabar.

Annuar dijangka merasmikan majlis penutup forum berkenaan.

Hawana 2022 yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama Kerajaan Melaka dan dilaksanakan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta pembabitan organisasi media, dilihat sebagai medan terbaik dalam menghargai peranan golongan berkenaan.

Demi kemajuan negara, kepentingan orang ramai, kemaslahatan masyarakat dan ketenteraman awam, golongan wartawan dan pengamal media berperanan besar untuk menyampaikan dasar serta program kerajaan, menyebarluaskan maklumat dan berita dengan penuh integriti.

Pada masa sama, media juga menjadi duta kepada konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan kerajaan untuk membentuk kehidupan yang lebih baik terutama pada pasca pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 11:08 PM