Dua rumah urut beroperasi di Taman Connaught, Cheras dan Jalan Klang Lama di sini, disita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana menjalankan aktiviti urut tanpa lesen.
Dua rumah urut beroperasi di Taman Connaught, Cheras dan Jalan Klang Lama di sini, disita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana menjalankan aktiviti urut tanpa lesen.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Dua rumah urut di Taman Connaught, Cheras dan Jalan Klang Lama di sini, disita Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana menjalankan aktiviti tanpa lesen.

DBKL dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, sepasukan anggota melakukan serbuan di dua premis berkenaan pada 9 malam tadi.

"Ketika serbuan pertama di Taman Connaught, terdapat empat pekerja warga Vietnam bersama seorang penjaga tempatan dan tiga pelanggan berada dalam premis.

"Siasatan mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti rumah urut tanpa kebenaran DBKL. Anggota mengeluarkan kompaun mengikut Undang-Undang Kecil (UKK) 3(1) UKK Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.

"Premis diambil tindakan sita mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, serbuan kedua di premis di Jalan Klang Lama juga mendapati pengusaha menjalankan aktiviti rumah urut tanpa kebenaran.

Malah, katanya, siasatan mendapati terdapat unsur aktiviti tidak bermoral dijalankan di premis berkenaan.

"Ketika serbuan hanya penjaga premis berada di dalam premis manakala pekerja sudah tiada di lokasi," katanya.

DBKL kemudian mengeluarkan kompaun dan turut menyita premis berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 2:27 PM