Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Pesakit Covid-19 yang terjatuh daripada tingkat lima Hospital Sungai Buloh (HSB) Isnin lalu, masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Pesakit berkenaan turut menerima bantuan pernafasan.

Pengarah HSB Dr Kuldip Kaur Prem Singh berkata, pesakit terbabit sudah menjalani dua kali pembedahan selepas kejadian itu.

"Sebelum ini, pesakit lelaki itu ditempatkan di wad di tingkat lima apabila disahkan positif Covid-19.

"Tindakan agresif itu berlaku selepas HSB membuat penilaian tidak membenarkan pesakit pulang ke rumah berikutan dia berada dalam kategori tiga. Ia berlaku pada hari kedua dia di wad," katanya pada kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Kuldip berkata, pesakit itu mencederakan jururawat dan cuba mencederakan pesakit lain yang sedang menerima rawatan di wad sama.

Menurutnya, beberapa petugas termasuk pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan berusaha menariknya ke dalam ketika pesakit duduk di bingkai tingkap hospital, namun dia terjatuh dan cedera.

"Sejurus kejadian, petugas perubatan memberikan rawatan dan membawanya ke Jabatan Kecemasan untuk rawatan lanjut," katanya.

Pihak HSB turut membuat laporan polis berkaitan kejadian terbabit.

Bagi mengelak kejadian berulang, beliau berkata, semua tingkap wad yang ketika ini terbuka bagi tujuan pengudaraan dihadkan luas bukaan dengan cara menukar engsel kekal.

Katanya, selain itu petugas perubatan juga dikehendaki mengenal pasti pesakit berisiko untuk diberikan perhatian dan rawatan khusus.

Harian Metro pada Selasa lalu melaporkan, seorang pesakit Covid-19 parah selepas terjatuh daripada tingkat lima ketika cuba melarikan diri dari HSB.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar dilaporkan berkata, kejadian berlaku jam 3.20 petang selepas mangsa berusia 33 tahun dimasukkan di wad akibat positif Covid-19.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 6:51 PM