PETIKAN video yang tular di media sosial.
PETIKAN video yang tular di media sosial.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah menafikan lewat memberi bantuan kepada pesakit Covid-19 yang terjatuh di wad seperti didakwa dalam video tular, semalam.

Pengarahnya, Dr Othman Warijo berkata, pesakit terus diperiksa oleh pegawai perubatan selepas dimaklumkan mengenai kejadian pada 2.25 petang.

"JKN telah melakukan siasatan segera selepas lelaki terbabit didakwa lewat mendapat bantuan petugas hospital.

"Pada hari kejadian, setelah rondaan wad pagi selesai dan pegawai perubatan serta jururawat menanggalkan pakaian perlindungan diri (PPE) kira-kira 1.45 petang.

"Pada kira-kira 2.25 petang, petugas wad diberitahu oleh pesakit lain, seorang pesakit telah jatuh dari katil.

"Pegawai perubatan bertugas bergegas memakai PPE lengkap dan terus memeriksa pesakit yang didapati terbaring di lantai wad. Pemakaian PPE telah mengambil masa kira-kira lima minit.

"Ketika itu, pesakit didapati tiada lagi tanda-tanda hidup. Pesakit telah dinaikkan ke katil semula dan disahkan meninggal dunia dan punca kematian pesakit adalah 'Severe Covid-19 Pneumonia'," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam tular di media sosial video 37 saat memaparkan pesakit lelaki berusia 60-an terjatuh di lantai sebelum meninggal dunia di hospital di Sungai Petani.

Video dimuat naik seorang pengguna Facebook (FB) itu menunjukkan pesakit berjalan dalam keadaan lemah sebelum terjatuh.

Dr Othman berkata, pesakit adalah warga emas yang dimasukkan ke wad Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, Khamis lalu selepas dirujuk oleh Pusat Penilaian Covid-19 Daerah Kuala Muda.

Katanya, pesakit mempunyai sejarah beberapa penyakit kronik dan dijangkiti Covid-19 kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen.

"Sepanjang berada di wad, keadaan pesakit kurang stabil dan memerlukan tekanan oksigen yang semakin tinggi.

"Pesakit itu bagaimanapun kelihatan tidak selesa dengan alat bantuan oksigen yang dipakaikan dan dipantau dengan lebih kerap oleh petugas kesihatan yang boleh bertutur dalam bahasa ibunda pesakit bagi memantapkan komunikasi," katanya.

Dr Othman berkata, pakar perubatan bertemu dengan ahli keluarga pesakit pada petang yang sama dan menjelaskan situasi sebenar kejadian.

Katanya, ahli keluarga sememangnya maklum keadaan pesakit yang kian merosot sebelum itu dan menerima baik penjelasan yang diberikan pihak hospital.

"Pihak jabatan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan kesal atas penularan video berkenaan yang tidak sepatutnya berlaku.

"Justeru kami meminta orang ramai menghentikan penularan video berkenaan bagi menghormati keluarga mendiang," katanya.

Dr Othman, berkata JKN juga akan menjalankan siasatan lebih mendalam berhubung insiden ini dan mengambil tindakan penambahbaikan yang diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 11:11 AM