AZAM Baki. FOTO NSTP
AZAM Baki. FOTO NSTP
Oleh Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sentiasa berusaha untuk mendapatkan semula aset membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan menganggap kerja berkenaan masih belum selesai.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, untuk tahun lalu, RM5.11 bilion sudah diperoleh oleh pihaknya.

Beliau berkata, jumlah itu tidak termasuk RM14 bilion pada 2020 yang diperoleh daripada pelbagai pihak melalui kompaun dan penyelesaian termasuk penghantaran pulang hasil jenayah.

"Kerja (untuk menuntut aset) belum selesai. Rakyat Malaysia mesti menuntut kerana terdapat akauntabiliti dalam setiap sen wang yang dilaburkan dalam 1MDB.

"Diharapkan orang ramai yang berada di dalam bilik ini turut menyertai seruan untuk menuntut bahawa pelaku jenayah ini perlu membayar atas segala tindakan jahat mereka," katanya pada ucaptama Forum Anti Rasuah Malaysia kali ketiga di sini, hari ini.

Tambahnya, sejak 2018, kerajaan mempergiat pelbagai usaha untuk mengembalikan aset 1MDB termasuk melakukan pendakwaan terhadap beberapa individu.

Katanya, SPRM bekerjasama dengan beberapa badan antarabangsa dan agensi penguatkuasaan asing bagi mendapatkan semua dana yang diseleweng.

Beliau berkata, dalam banyak forum antarabangsa yang dihadiri, pengalaman Malaysia mengendalikan dan memulihkan sejumlah besar aset 1MDB secara berterusan mendapat pujian daripada pelbagai pihak.

"Ramai pegawai kami berkongsi pengalaman yang tidak ternilai ini di pelbagai peringkat antarabangsa," katanya.

Pada November lalu, SPRM pada kenyataan memaklumkan, kerjasamanya dengan agensi penguat kuasa antarabangsa sudah mengembalikan lebih RM20.53 bilion aset 1MDB kepada kerajaan Malaysia.

SPRM memaklumkan, pihaknya kini giat meneruskan pemulihan aset dana 1MDB dalam dan luar negara termasuk di Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan dan Singapura.

Pada 12 Mei 2021, Kementerian Kewangan memaklumkan, kira-kira RM1.9 bilion (AS$452.36 juta) sudah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dan wang berkenaan adalah sebahagian daripada dana 1MDB yang disita.

Sehingga kini, Akaun Amanah tersebut yang berada di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara menerima RM16.05 bilion dana berkaitan 1MDB yang disita serta dipulangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 1:41 PM