MENDIANG R Vinosiny. FOTO Ihsan UUM
MENDIANG R Vinosiny. FOTO Ihsan UUM
Zuliaty Zulkiffli


Jitra: Polis masih menunggu laporan bedah siasat berhubung kematian seorang pelajar perempuan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kematian pelajar berusia 21 tahun itu namun setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, pelajar terbabit dipercayai mengalami serangan sawan namun pihaknya masih menunggu laporan kimia berhubung kematiannya.

Sementara itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) Sintok dalam kenyataannya berkata, pihak universiti masih menunggu laporan lanjut berhubung kematian pelajar perempuan terbabit.

Unit Komunikasi Korporat UUM dalam kenyataan itu berkata, pelajar terbabit, R Vinosiny adalah pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat).

Berikutan itu, pihak universiti melahirkan rasa dukacita dengan pemergian pelajar terbabit namun punca kematiannya masih belum diketahui setakat ini.

"Sehingga kini pihak universiti masih menunggu laporan penuh bedah siasat dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

"Namun, sebagai tanda keprihatinan, pihak UUM akan membantu meringankan beban keluarga mendiang dengan menyalurkan bantuan bersesuaian

"Naib Canselor dan seluruh UUM merakamkam ucapan takziah kepada keluarga mendiang," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 12:23 PM