Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seperti wabak Covid-19, jangkitan Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) boleh menular melalui udara.

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, cara penularan itu berlaku sekiranya terdapat pesakit HFMD yang batuk atau bersin dalam rumah yang sama.

Bagaimanapun, katanya, risiko penyakit itu untuk merebak adalah rendah yang diketahui kumpulan sasarannya iaitu kanak-kanak dan tidak teruk berbanding jangkitan Covid-19.

"Selain itu, HFMD merebak jika terkena lelehan cecair daripada ruam dan najis mereka yang berpenyakit.

"Maka penjagaan kebersihan seperti kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman adalah perkara utama perlu dilakukan bagi mengelak terkena jangkitan," katanya kepada Harian Metro.

Selasa lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, pada tahun ini sehingga hari terakhir Minggu Epidemiologi (ME) ME 19/2022 pada 14 Mei lalu, sejumlah 31,661 kes HFMD dilaporkan.

Ia peningkatan sebanyak 15 kali ganda berbanding 2021 pada ME yang sama yang mana ketika itu hanya sejumlah 2,121 kes dilaporkan.

Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi HFMD dengan 8,864 kes diikuti Kuala Lumpur dan Putrajaya (4,421 kes), Sabah (2,650 kes), Perak (2,638 kes) serta Kelantan (2,493 kes), manakala negeri lain melaporkan bawah 1,500 kes.

Ditanya kemungkinan penyakit berjangkit itu boleh menjadi virus pandemik berikutan peningkatan mendadak kes, Dr Sharifa berkata, virus HFMD adalah endemik di Malaysia dan Thailand.

Katanya, ini kerana wabak itu sentiasa ada dalam komuniti dan akan berlaku pada bila-bila masa apabila keadaannya untuk merebak sesuai.

"Bagaimanapun, kebarangkalian untuk merebak seluruh dunia (pandemik) adalah rendah dan tidak menjadi keutamaan memandangkan cara penularan tidak begitu efisien," katanya.

Kata beliau, kadar kematian akibat penyakit itu juga rendah dan kanak-kanak yang dijangkiti kebiasaannya mengambil masa antara 10 hari hingga dua minggu untuk pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 2:50 PM