Tepung gandum. - Foto hiasan
Tepung gandum. - Foto hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat) mengaktifkan Skuad Pemantau Awam (SPA) untuk memantau sebarang kenaikan harga tepung gandum serta produk berasaskan tepung di seluruh negara.

Ia adalah usaha untuk menjadi 'mata dan telinga' kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) susulan langkah India menyekat eksport gandum baru-baru ini.

Pengerusinya Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata, inisiatif awal itu difikirkan perlu memandangkan ada pihak yang mengambil kesempatan di atas isu global dalam situasi kenaikan sebelum ini.

Katanya, SPA akan memantau di kedai runcit dan pasar awam bagi memastikan tiada peniaga mengambil kesempatan di atas isu berkenaan.

"Sebelum ini kita berdepan kekalutan bila timbul isu bekalan bawang India, isu telur ayam dan bekalan ayam.

"Menerusi perbincangan, Amal Sejagat dapati perlu kita bersedia dengan pemantauan awal kerana kemungkinan isu ini akan dijadikan modal untuk pihak tertentu menaikkan harga tepung atau barangan berasaskan tepung," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah pun menjalankan pemantauan di sekitar Jerantut, Pahang dan beberapa lokasi di Lembah Klang, namun setakat ini keadaan masih terkawal.

Katanya, sukarelawan SPA juga akan memantau di kawasan sekitar tempat tinggal mereka dan melaporkan kepada KPDNHEP sekiranya mendapati berlaku kenaikan harga.

"Kita juga faham, ada pengguna yang tidak melaporkan kepada kementerian atas sebab-sebab tertentu, jadi kita jadi alternatif untuk pastikan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan yang tidak munasabah," katanya.

Semalam, KPDNHEP dalam satu kenyataan berkata, tindakan India yang menyekat eksport gandum dijangka tidak akan menjejaskan bekalan tepung gandum untuk kegunaan am di Malaysia.

Menurut kementerian itu, negara tidak mengimport gandum dari India sebaliknya, 80 peratus bijirin itu diimport dari Australia selain Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 5:35 PM