Redzuan Muharam


Cameron Highlands: Kreativiti dipamerkan seorang pemuda yang memakai persalinan baju raya corak Hello Kitty bukan hanya menarik perhatian pengunjung tempatan, malah juga pelancong asing yang bercuti pusat peranginan berkenaan.

Disebabkan pakaian unik itu juga, ramai pengunjung mengajak Syed Muhammad Shah Hasif Syed Othman dan isteri, Fatin Syazwani Ishak, 23 serta anak tunggal mereka, Syed Muhammad Nouie Jaeden El-Alawi, 3, bergambar bersama.

Menurut Syed Muhammad Shah Hasif, dia sekeluarga memakai persalinan itu pada hari raya kelima dan digayakan bagi kelihatan sedondon ketika mengambil gambar.

Katanya, dia tiada niat menarik perhatian sesiapa tetapi berterima kasih kepada mereka yang memuji pakaian dijahitnya sendiri itu.

"Selain bercuti, saya dan isteri memang merancang ke sini untuk mengambil gambar keluarga sempena Aidilfitri kerana bukan selalu kami memakai pakaian sedondon.

"Walaupun diperbuat daripada cadar, kami selesa saja memandangkan cuaca sekeliling yang sejuk.

"Sesi fotografi berjalan lancar dan tak sangka ramai ajak ambil gambar bersama termasuk pelancong asing," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Syed Muhammad Shah Hasif berkata, ada pelancong asing menyangka dia sekeluarga memakai persalinan pengantin hakikatnya ia adalah baju raya.

"Orang tempatan tidak begitu pelik cuma mungkin mereka nampak unik kerana corak baju kami saja.

"Bagaimanapun, pelancong asing agak teruja dan peluang itu saya gunakan bagi mempromosikan baju tradisi kita kepada mereka.

"Menerusinya, mereka akan ingat Malaysia bukan hanya ada banyak makanan enak dan tempat menarik tetapi juga pakaian tradisional," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah Syed Muhammad Shah Hasif Syed Othman yang mencuri perhatian di laman sosial selepas memuat naik video di TikTok menunjukkan dia sekeluarga memakai persalinan raya diperbuat daripada kain langsir pada 1 Syawal lalu.

Menariknya, pakaian itu tidak ditempah atau dibeli sebaliknya dijahit sendiri oleh Syed Muhammad Shah Hasif yang menetap di Klang, Selangor dan menjahit 30 pasang baju raya untuk diri sendiri, isteri dan anak bagi digayakan sepanjang Syawal.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 9:22 PM
SYED Muhammad Shah Hasif dan Fatin Syazwani Ishak, 23 serta anak tunggal mereka, Syed Muhammad Nouie Jaeden El-Alawi mengayakan baju Hello Kitty.
SYED Muhammad Shah Hasif dan Fatin Syazwani Ishak, 23 serta anak tunggal mereka, Syed Muhammad Nouie Jaeden El-Alawi mengayakan baju Hello Kitty.