PEMPENGARUH TikTok dan usahawan, Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman bersama isteri, Fatin Syazwani Ishak bersama dua anak mereka tampil unik persalinan baju raya bertemakan Barbie. FOTO Ihsan  Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman
PEMPENGARUH TikTok dan usahawan, Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman bersama isteri, Fatin Syazwani Ishak bersama dua anak mereka tampil unik persalinan baju raya bertemakan Barbie. FOTO Ihsan Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman
Redzuan Muharam


Klang: Memandangkan Aidilfitri hanya setahun sekali, pempengaruh dan usahawan, Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman sanggup berhabis RM90,000 bagi menyiapkan 120 pasang persalinan buatnya, isteri dan dua anak bagi digayakan sepanjang Syawal.

Lebih menarik, persalinan dipakai empat beranak itu sempena hari raya pertama, hari ini bertemakan Barbie iaitu karakter kartun popular terutama dalam kalangan anak perempuan.

Seperti tahun sebelumnya, Syed Muhammad Syah Hasif, 32, atau dikenali Prince Syed dalam kalangan pengikut berkata, tema itu dipilih untuk mencari kelainan supaya tampil berbeza di pagi Syawal dan menelan kos kira-kira RM4,000 untuk empat pasang baju.

"Tahun ini, saya nampak ramai yang memakai baju raya warna oren bata tapi saya dan isteri nak lain daripada yang lain.

"Jadi, kami sepakat pilih tema Barbie walaupun awalnya ada beberapa karakter lain dalam senarai pilihan.

"Lagipun, kami pernah pakai baju raya tema Hello Kitty beberapa tahun sudah maka pilih Barbie kali ini.

"Saya pun minat karakter comel, isteri pun suka jadi tak ada perbalahan soal baju malah isteri siap bagi idea mengenai konsep pakaian yang tetap ada elemen bulu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Tambah Syed Muhammad Syah Hasif, dia mengambil masa dua hari untuk menjahit empat pasang baju bertemakan Barbie yang lengkap dengan tanjak dan sampin buat diri juga anak lelakinya Syed Muhamad Nouis Jaeden El-Alawi, 5.

Syed Muhammad Syah Hasif berkata, bahan digunakan untuk menjahit baju berkenaan pula adalah gabungan barangan penting di bilik tidur iaitu selimut dan kain cadar serta sarunt bantal.

"Cabaran nak siapkan baju raya kali ini adalah mencari bahannya kerana susah nak jumpa kain bermotifkan Barbie sama ada di platform jualan dalam talian mahupun gedung tekstil.

"Kain yang ada kebanyakannya bercorak Hello Kitty dan Sponge Bob jadi saya ambil keputusan buat baju saya guna kain cadar, selimut untuk isteri manakala baju anak diperbuat dengan kain cadar.

"Ada juga gunakan kain 'lace' pada bahagian bawah kain untuk isteri dan anak perempuan," katanya.

Syed Muhammad Syah Hasif berkata, tidak timbul soal malu memakai persalinan begitu sebaliknya menganggap pelaburannya berbaloi kerana dapat 'melaram' sakan ketika hari raya.

"Setiap orang ada minat tersendiri jadi tak salah nak pakai tema apa pun kerana paling penting kita tahu jaga batas dalam penampilan supaya tak sampai mencolok mata mereka yang melihatnya.

"Lagipun, Barbie umum dan sesuai untuk semua peringkat umur sama ada dewasa mahupun kanak-kanak yang memang sukakannya," katanya.

Dalam pada itu, Syed Muhammad Syah Hasif berkata, selain baju, dia turut mengeluarkan lagu raya bertajuk Tiberr Raya sempena Aidilfitri kali ini.

"Saya bukan penyanyi cuma saya fikir apa salahnya kembangkan bakat apabila dapat peluang dan lagu raya ini lebih kepada untuk memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2024 @ 10:46 AM