Ekhwan Haque Fazlul Haque

Bera: Barisan Nasional (BN) yakin dapat membentuk kerajaan baharu malam ini dengan gabungan parti dari Sarawak dan Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun mampu membentuk kerajaan sendiri, kerjasama bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tetap akan diwujudkan.

"Saya harap sebab sasaran kita boleh 'cross' 112, kita boleh bentuk kerajaan.

"Jika sudah boleh dapat 112 kerusi untuk bentuk kerajaan dengan majoriti mudah, kita akan bentuk kerajaan malam ini," katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Kerayong, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri bersama isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin tiba di SMK Bandar Kerayong jam 9.20 pagi.

Ismail Sabri dan isteri selesai menunaikan tanggungjawab sejam kemudian selepas beratus selama satu jam bersama pengundi lain.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sama ada kerajaan BN dapat dibentuk bersendirian atau perlu gabungan parti lain selain GPS dan GRS hanya akan diputuskan kepimpinan tertinggi parti.

"BN tidak akan meninggalkan parti GPS dan GRS untuk membentuk kerajaan," katanya.

ISMAIL Sabri bersama isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin mengundi di SMK Bandar Kerayong, Parlimen Bera. FOTO Hairul Anuar Rahim
ISMAIL Sabri bersama isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin mengundi di SMK Bandar Kerayong, Parlimen Bera. FOTO Hairul Anuar Rahim

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 11:37 AM