KAKI kanan Muhammad Hakimul A' zim terperosok ke dalam besi penutup longkang. FOTO Ihsan Pembaca
KAKI kanan Muhammad Hakimul A' zim terperosok ke dalam besi penutup longkang. FOTO Ihsan Pembaca
Rosman Shamsudin


Slim River: Kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas selepas kaki kanannya terperosok di dalam besi penutup longkang di hadapan sebuah restoran, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian 5.30 petang, mangsa Muhammad Hakimul A' zim Muhammad Razli, 7, dipercayai singgah di restoran terbabit bersama bapanya membeli kuih sebagai juadah berbuka di Surau Al Jauharah Taman Slim Permata.

Difahamkan, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa yang begitu teruja ke restoran kegemarannya untuk memilih kuih tidak menyedari kaki kanan terperosok ke dalam besi penutup longkang berdekatan restoran terbabit.

Bapa mangsa, Muhammad Razli Mohd Rusdi, 27, berkata, anaknya mula mengadu kesakitan selepas kakinya tersangkut dalam besi penutup longkang menyebabkan dia terus menghubungi bomba.

Menurutnya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River tiba dengan pantas di tempat kejadian sebaik menerima laporan.

"Pihak bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan kaki kanan anak saya daripada besi penutup longkang.

"Kepantasan bomba menjalankan tugas akhirnya kaki kanan anak saya berjaya dikeluarkan daripada besi penutup longkang terbabit, " katanya ketika dihubungi, dekat sini.

Muhammad Razli berkata, kaki kanan anaknya hanya mengalami luka ringan sahaja ketika cuba hendak mengeluarkan sendiri kaki dari besi penutup longkang terbabit.

Katanya, dia berterima kasih kepada bomba yang membantu mengeluarkan kaki kanan anaknya dari besi penutup longkang berkenaan.

Muhammad Hakimul A' zim Muhammad Razli berumur tujuh tahun menunjukkan kaki kanannya yang terperosok masuk ke dalam besi penutup longkang berdekatan salah sebuah restoran dekat Slim River, petang tadi.NSTP/Ihsan Pembaca.

From: ROSMAN

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 10:15 PM