GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Aizat Sharif


Kangar: Polis menjangkakan antara 60,000 hingga 80,000 kenderaan dijangka memasuki Perlis menjelang Aidilfitri ini.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, pihaknya menjangkakan akan berlaku pertambahan kenderaan yang memasuki negeri itu bermula esok.

"Bagi Perlis, kita ada 30 peratus daripada populasi penduduk di Perlis yang bekerja di luar negeri dan kita jangka mereka akan mengambil peluang ini untuk pulang ke menyambut Aidilfitri selepas dua tahun tidak dibenarkan merentas negeri.

"Disebabkan itu juga, kita menganggarkan akan berlaku penambahan kenderaan sekitar 60,000 hingga 80,000 yang akan memasuki negeri ini bermula Jumaat ini hingga 8 Mei hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Op Selamat 18 Sempena Aidilfitri 2022 Peringkat Kontinjen Perlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, di sini hari ini.

Katanya, selaras dengan perkembangan itu juga, seramai 1,200 orang pegawai dan anggota polis Perlis akan bertugas sepanjang Aidilfitri ini.

"Ini adalah berdasarkan arahan daripada pimpinan Bukit Aman, hanya 10 peratus sahaja pegawai dan anggota dibenarkan bercuti pada kali ini," katanya.

Menurutnya, bagi melancarkan penugasan polis ketika musim perayaan, pegawai dan anggota polis diarah melaksanakan pelbagai tugas termasuk rondaan cegah jenayah, penugasan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, kawalan dan pemantauan lalu lintas dan trafik serta lain-lain.

"Dalam masa yang sama sekatan jalan raya yang membabitkan Ops Benteng masih diteruskan selain operasi sekatan jalan raya (SJR) bergantung kepada keadaan dan keperluan semasa.

"Rondaan cegah jenayah akan dilebihkan dengan penggunaan elemen kereta peronda polis (MPV) dan Unit Ronda Bermotosikal (URB) serta rondaan anggota tidak beruniform," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 7:06 PM