GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Empat remaja ditahan kerana menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dalam dua tangkapan di Jeli dan Pasir Mas, dekat sini.

Mereka berusia 15 hingga 18 tahun ditahan dalam Op Samseng Jalanan untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, tangkapan pertama dibuat membabitkan dua remaja berusia 15 dan 17 tahun di Kuala Balah, di sini, kira-kira 6.50 petang kelmarin.

"Anggota trafik melihat dua motosikal dua remaja itu dari arah simpang tiga Jerimbong menghala ke Ladang Tapis dalam keadaan berlumba dengan menundukkan kepala.

"Dua remaja itu diekori, namun mereka bertindak memecut motosikal sehingga ke kebun getah sebelum berjaya ditahan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, dua remaja lain berusia 17 dan 18 tahun dikesan melakukan aksi berbahaya termasuk menduga kelajuan motosikal di Jalan Gual Periok ke Gual Tok Deh, Rantau Panjang, di sini, pada 7 malam tadi.

Katanya, mereka turut membuat aksi zigzag dan menundukkan kepala ketika menunggang motosikal sebelum anggota polis menahan dua remaja terbabit.

"Selain membahaykan orang lain, tindakan mereka juga merisikokan diri sendiri kerana tidak memakai topi keledar dan tiada lesen memandu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 3:24 PM