Seorang mat rempit ditahan polis dalam Ops Samseng Jalanan, di Jalan Padang Matsirat, Langkawi. FOTO Ihsan PDRM
Seorang mat rempit ditahan polis dalam Ops Samseng Jalanan, di Jalan Padang Matsirat, Langkawi. FOTO Ihsan PDRM
Hamzah Osman


LELAKI sempat buat satu pusingan perlumbaan sahaja sebelum ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Padang Matsirat di Langkawi, hari ini.

Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, terdahulu pihaknya mengesan sekumpulan penunggang motosikal yang menunggang dalam keadaan laju dan secara berbahaya.

“Suspek menunggang motosikal Yamaha dan melakukan aksi berbahaya dari lampu isyarat Kampung Mata Ayer hingga simpang pusingan-U di hadapan Sekolah Kebangsaan Bayas.

“Selepas diekori, suspek kemudian ditahan sejurus tiba berhampiran lampu isyarat Kampung Mata Ayer sebaik menamatkan satu pusingan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, suspek dan kenderaan dibawa balik ke Balai Polis Trafik Langkawi untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

“Operasi akan terus dilakukan dari semasa ke semasa berikutan aduan kegiatan lumba haram di jalan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 2:14 PM