GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Melvin Joni

Serian: Lelaki meninggal dunia selepas tersepit di atas pokok kerana dihempap batang pokok ditebangnya di Kampung Engkelumai, Jalan Serian-Balai Ringin, di sini, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian pada 3 petang bagi memohon khidmat bomba menurunkan mangsa.

Katanya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian bersama jentera dihantar ke lokasi untuk bantuan.

"Setibanya di lokasi mendapati mangsa tersepit di atas pokok yang ditebangnya dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Anggota bomba kemudian mendapatkan bantuan jengkaut bagi mengalihkan batang pokok yang menghempap mangsa sebelum berjaya menurunkan mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Serian untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 2:58 PM