Pengerusi UDA Datuk Norliza Abdul Rahim mesra bersama penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh ketika ditaja bagi membeli-belah di Angsana Mall Johor Bahru di sini baru-baru ini. FOTO Mary Victoria Dass
Pengerusi UDA Datuk Norliza Abdul Rahim mesra bersama penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh ketika ditaja bagi membeli-belah di Angsana Mall Johor Bahru di sini baru-baru ini. FOTO Mary Victoria Dass
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Kegembiraan jelas terpancar di wajah 90 anak yatim dan asnaf dari Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh di sini, disantuni UDA Holdings Bhd (UDA) di Angsana Johor Bahru Mall di sini.

Pengerusi UDA, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya tidak melepaskan peluang menceriakan golongan berkenaan dengan memperuntukkan sumbangan berjumlah RM27,000 sebagai persediaan untuk menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.

Beliau berkata, setiap penerima diberikan kelengkapan Aidilfitri bernilai RM300 termasuk baju raya, kasut dan duit raya.

"Ketika negara dalam Fasa Peralihan Ke Endemik, sudah tentunya semua seronok mahu beraya, oleh itu kita mahu anak-anak ini turut diberi perhatian menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares.

"Semoga Aidilfitri mereka lebih meriah dan ceria dengan sumbangan kecil ini. Senyuman di wajah mereka amat bermakna bagi kami," katanya pada Majlis Syukuri Ramadan di Angsana Johor Bahru Mall di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif UDA Mohd Salem Kailany.

Terdahulu UDA turut mengadakan Majlis Perasmian Program CSR Usahawan Wanita termasuk membuka peluang perniagaan kepada enam asnaf di karnival Aidilfitri Angsana Mall Johor Bahru mulai 11 Mac hingga 2 Mei 2022.

Bantuan fasiliti berkenaan bertujuan mengembangkan perniagaan mereka selain memupuk semangat keusahawanan.

Antara barangan yang ditawarkan adalah pakaian, aksesori, kuih raya serta barangan keperluan harian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 5:08 PM