Suraya Roslan

Kuala Lumpur: "Perjalanan kes ini masih jauh, saksi belum habis, OKT (Orang Kena Tuduh) pun masih belum dibuktikan bersalah tetapi sudah ada komen berbentuk subjudis, menghina mahkamah dan fitnah,".

Demikian amaran diberikan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Izralizam Sanusi berhubung tindakan lantang orang awam yang membuat komen di media sosial berkaitan perbicaraan kes pengabaian dan penderaan membabitkan remaja sindrom down dikenali sebagai Bella yang sedang berlangsung ketika ini.

Izralizam memberi amaran itu selepas perkara itu dibangkitkan Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Nor Azizah Mohamad.

Nor Azizah berkata, terdapat hantaran di media sosial yang tidak sepatutnya berhubung perjalanan kes Bella.

"Saya mohon mahkamah untuk memberi amaran kepada orang awam supaya tidak membuat apa-apa komen yang boleh memberikan subjudis kes pendakwaan dan OKT," katanya.

Turut bangun membangkitkan perkara sama, peguam pemerhati dilantik Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim yang memohon mahkamah memberikan nasihat kepada orang awam termasuk pihak pembelaan.

"Perkara sama juga saya ingin bangkitkan, mohon kepentingan mangsa dijaga. Komen ini juga bukan saja termasuk oleh orang awam tetapi saya pernah lihat daripada pihak pembelaan," katanya.

Izralizam berkata, mahkamah akur rakyat Malaysia mempunyai kebebasan bersuara namun perlu ingatkan terdapat undang-undang berkuatkuasa yang boleh dikenakan terhadap mana-mana individu di Malaysia yang boleh dikatakan melampau dalam penulisan, hantaran dan komen.

"Apa yang jelas, diingatkan kepada semua kebebasan bersuara tertakluk kepada undang-undang ditetapkan termasuk menghina mahkamah dan fitnah.

"Selain itu, terdapat juga akta yang mengawal hantaran di media sosial yang boleh mana diadukan oleh pihak pendakwa raya dan dianggap melanggar undang-undang Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Oleh itu mahkamah ingin memberikan amaran dan peringatan kepada orang awam termasuk di galeri ini supaya tidak membuat komen berbentuk fitnah, subjudis atau menghina mahkamah," katanya.

SITI Bainun (kanan) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, bagi perbicaraan kes mendera seorang remaja Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SITI Bainun (kanan) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, bagi perbicaraan kes mendera seorang remaja Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Beliau berkata, sekiranya perkara itu berlaku, pihaknya percaya pendakwa raya yang mempunyai kuasa untuk mendakwa boleh mengambil tindakan sewajarnya dan tujukan terus kepada spesifik individu yang membuat hantaran jelas melanggar undang-undang, menghina mahkamah atau subjudis.

"Perkara yang dibangkitkan Timbalan Pendakwa Raya ini akan direkodkan di mahkamah dan dengan mengatakan keadilan tidak mungkin dicapai yang jelas melanggar undang-undang.

"Saya juga mengambil maklum aduan peguam pemerhati tadi terdapat juga pihak dalam kalangan 'officer of the court' membuat hantaran dan komen berbentuk subjudis, tapi saya tidak mahu mengambil tindakan berbentuk contempt (menghina) kerana tiada keperluan berbuat demikian," katanya.

Katanya, beliau juga mengingatkan supaya jangan disebarkan sebarang dokumen yang dirujuk sebagai identiti yang secara jelas dimuat naik di mana-mana media sosial kerana ia boleh mendatangkan subjudis.

"Kamu sudah membuat kerja berdasarkan tanggungjawab masing-masing, Timbalan Pendakwa Raya membawa kes menuduh tertuduh, peguam Bainun (Siti Bainun Ahd Razali) mempunyai tanggungjawab untuk membela tetapi berdasarkan undang-undang ruang lingkup sedia ada dan jangan melebihi.

"Peguam mempunyai etika dan terikat, orang awam dan wartawan juga boleh memainkan peranan penting yang mengikuti kes ini berdasarkan undang-undang sedia ada, jangan buat komen-komen mengganggu," katanya.

Menurutnya, perjalanan kes masih jauh dan semua saksi belum habis memberi keterangan.

"SP5 (saksi pendakwaan kelima) pun belum habis (beri keterangan), tak sihat dan sebagainya disebabkan komen melampaui, bukan saja terhadap OKT.

"OKT pun belum dibuktikan bersalah, kita masih jauh perjalanan untuk memanggil saksi lain, SP5 masih dalam pemeriksaan balas, simpan komen itu yang berbentuk contempt (menghina), subjudis, fitnah untuk diri sendiri, jangan disebarkan untuk mendapatkan followers (pengikut) sehingga menjejaskan perjalanan kes ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 2:58 PM