ISMAIL Sabri menghadiri Majlis Pelancaran HIJRAH24 dan Berbuka Puasa di Menara Tabung Haji hari ini. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri menghadiri Majlis Pelancaran HIJRAH24 dan Berbuka Puasa di Menara Tabung Haji hari ini. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) mencatatkan nilai agihan keuntungan sebanyak RM35.6 bilion kepada pendepositnya sejak 56 tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembabitan TH dalam pelbagai sektor ekonomi patuh syariah menjana pendapatan yang halal dan baik seterusnya dikongsi bersama dengan pendeposit melalui agihan keuntungan setiap tahun.

"TH antara pengurus pelaburan patuh syariah berkumpulan terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan bernilai RM87.3 bilion membabitkan deposit berjumlah RM86.5 bilion daripada 8.4 juta pendeposit.

"Sejak 1966 sehingga tahun lalu, TH mengagihkan sebanyak RM35.6 bilion keuntungan kepada pendepositnya. Dari 2001 pula, TH memberi bantuan kewangan haji berjumlah RM2.02 billion bagi meringankan beban kewangan jemaah Keluarga Malaysia," katanya pada Majlis Pelancaran Pelan HIJRAH24 di sini, hari ini.

Beliau berkata, sejak penubuhannya 59 tahun lalu, TH juga berjaya berkembang menjadi salah satu entiti pengurusan haji dan dana patuh syariah terulung di dunia.

"Hasil kecekapan pengurusan haji yang menyeluruh dan efisien, TH mendapat pengiktirafan serta pujian daripada kerajaan Arab Saudi dan negara Islam lain.

"Semoga TH akan terus menjadi model pengurusan haji terbaik dunia, seterusnya menjadi organisasi kebanggaan negara di persada antarabangsa, Insya-Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 7:31 PM