KAPAL kargo sarat muatan diesel ditahan.
KAPAL kargo sarat muatan diesel ditahan.
Erika George


Sibu: Cubaan menyeleweng 130,000 liter diesel bernilai RM279,500 menggunakan kapal kargo terbongkar susulan penahanan sebuah kapal kargo di perairan Durin di Sungai Batang Rajang, dekat sini, hari ini.

Penahanan dilakukan Unit Risikan Marin (URM) Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Sibu, pada 7.30 pagi.

Komander Pasukan PPMW5 Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali berkata, ketika menjalankan operasi Op Kontraban, pasukan rondaan 649 mengesan kehadiran sebuah kapal kargo bernama 'Hwa Hin No 8' berwarna merah yang mencurigakan di perairan terbabit.

"Selepas menahan kapal itu, pasukan URM menjalankan pemeriksaan dan penggeledahan serta menemukan 130,000 liter diesel bersubsidi pada bahagian dek kapal terbabit.

"Juragan kapal yang juga lelaki tempatan berusia 59 tahun dalam pengakuan lisannya mengaku membawa muatan diesel itu.

"Lelaki itu juga gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki atau membawa barang kawalan tanpa permit dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sibu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, seorang lagi kru kapal juga lelaki tempatan berusia 44 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua suspek berserta barangan kapal termasuk barangan rampasan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat KPDNHEP Sibu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 6:01 PM