POLIS melakukan serbuan dan pemeriksaan terhadap kapal yang menyeludup diesel di perairan Bintulu. FOTO Erika George
POLIS melakukan serbuan dan pemeriksaan terhadap kapal yang menyeludup diesel di perairan Bintulu. FOTO Erika George
Erika George


SINDIKET penyeludupan diesel tumpas selepas bahan bakar sebanyak 32,000 liter dianggarkan bernilai RM 55,360 dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Bintulu daripada sebuah kapal di perairan Bintulu, pagi semalam.

Komandernya, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pihaknya menahan kapal yang dilihat dalam keadaan mencurigakan pada kedudukan 7.09 batu nautika dari Kuala Bintulu jam 11 pagi.

"Pemeriksaan yang turut disertai Unit Risikan Marin (URM) itu menemui bahan bakar itu disimpan pada bahagian bahagian bawah komponen kapal," katanya.

Menurutnya, juragan kapal berkenaan juga gagal mengemukakan bukti atau dokumen sah berkaitan pemilikan dan kebenaran menyimpan minyak.

"Jadi, dia melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kerana memiliki, menyimpan barang kawalan tanpa permit, tanpa lesen atau tanpa Kebenaran khas dari KPDNHEP," katanya.

Katanya, dua lagi kru kapal itu turut ditahan bagi membantu siasatan berhubung cubaan menyeludup diesel.

"Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Bintulu dan kes ini akan diserahkan kepada pihak KPDNHEP Bahagian Bintulu untuk tindakan lanjut," katanya.

Tambahnya, pihaknya turut merampas peralatan untuk mengepam minyak dan jumlah keseluruhan termasuk kapal itu dianggarkan bernilai RM1.56 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 3:55 PM