Hazira Ahmad Zaidi


Kuala Krai: Seorang pengusaha madu kelulut menanggung kerugian hampir RM20,000 selepas 30 daripada 180 log sarang kelulut miliknya dimusnahkan beruang yang memasuki kawasan kebunnya, sejak Disember tahun lalu.

Che Awang Mat Zin, 69, berkata, beruang yang berkeliaran di kawasan kebunnya pada waktu malam mencetuskan kebimbangan, di samping tidak sanggup lagi untuk terus menanggung kerugian apabila satu persatu log sarang kelulut yang diusahakan di atas tanah seluas satu ekar (0.4 hektar) dimusnahkan haiwan berkenaan.

Katanya, setiap satu log sarang kelulut yang dianggarkan berharga RM700, dimusnahkan oleh haiwan itu dan walaupun pagar sudah dipasang di sekeliling kebun, namun beruang itu berjaya memasuki kawasan kebun dengan memanjat pokok.

"Setiap pagi apabila saya ke kebun untuk melihat log sarang kelulut, pasti akan ada dua atau tiga log sarang kelulut yang dimusnahkan oleh haiwan ini, dan jika ia berterusan tidak mustahil dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi kesemua log sarang kelulut yang diusahakan selama ini hanya sia-sia selain terpaksa menanggung kerugian berlipat kali ganda.

"Kebiasaannya, pendapatan hasil daripada menjual madu kelulut akan saya gunakan untuk membeli atau menambah log sarang kelulut, namun sejak penghujung tahun lalu sudah banyak log sarang kelulut yang dimusnahkan beruang dan berasa sangat sedih.

"Bagi mengelakkan terus menanggung kerugian, saya sudah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan untuk tindakan segera dan perangkap pun sudah dipasang, namun ia masih belum berhasil," katanya ketika ditemui di kebun kelulutnya di Kampung Geretak Kangkong, di sini, semalam.

Bapa kepada lapan anak berusia di antara 23 hingga 39 tahun ini berkata, selepas bersara pada 2011 sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia, dia mengusahakan penternakan lebah kelulut pada tahun 2014 dengan permulaan 20 log sarang kelulut di kawasan rumahnya.

"Disebabkan madu kelulut mendapat permintaan tinggi, saya menambah log sarang kelulut ini secara berperingkat sehingga memiliki 180 log sarang kelulut.

"Kebiasaannya saya akan menuai kelulut yang diusahakan ini sebanyak tiga kali setahun dan hasil yang diperoleh pada setiap kali tuaian adalah di antara 200 hingga 300 kilogram (kg).

"Madu kelulut yang diusahakan ini dijual bagi pasaran di seluruh negara, malah permintaan madu kelulut juga meningkat ketika pandemik Covid-19," katanya.

CHE Awang menunjukkan sarang lebah kelulut miliknya yang dimusnahkan beruang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
CHE Awang menunjukkan sarang lebah kelulut miliknya yang dimusnahkan beruang. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 8:42 AM