GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Samadi Ahmad


Putrajaya: Tiga individu ditahan awal pagi ini susulan penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai dibunuh dengan kesan luka di perut dan dalam keadaan terikat di Jalan Sepang-Salak di sebuah rumah di Padang Jawa, Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Penolong Pesuruhjaya Polis Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata, mangsa seorang lelaki warga negara Bangladesh berumur 25 tahun dan motif pembunuhan disyaki akibat cemburu dan dendam.

Menurutnya, tangkapan membabitkan tiga lelaki Indonesia yang masing-masing berusia 50 tahun (pemaustatin tetap), 34 tahun (tiada pasport) dan 24 tahun (tiada dokumen diri) pada jam 1 pagi hari ini.

"Tangkapan dibuat selepas menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki warga asing berusia 16 tahun di Shah Alam kepada IPD Sepang memaklumkan dia bersama sepupu mangsa yang mengenali seorang wanita iaitu teman wanita lelaki yang maut itu.

"Sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Sepang pergi ke Sri Muda dan berjumpa dengan pemanggil dan sepupu mangsa tersebut," katanya.

Wan Kamarul berkata, teman wanita mangsa itu sebelum ini pernah berkahwin dengan salah seorang suspek dan mempunyai tiga anak.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 suami wanita itu pulang ke negara asal sebelum kembali semula ke Malaysia pada Ogos 2021.

"Apabila suami wanita itu mendapat tahu isterinya berkawan dengan mangsa, dia marah dan terus menceraikan isterinya itu.

"Sepupu mangsa memberitahu sebelum ini suami wanita itu ada memarahi mangsa kerana berkawan rapat dengan bekas isterinya.

"Ketika tangkapan polis turut merampas tiga telefon bimbit dan kesemua suspek tidak mengaku terbabit dalam kejadian itu," katanya.

Semalam media melaporkan penemuan mayat lelaki dipercayai dibunuh dalam keadaan terbaring dengan luka pada perut serta tangannya serta berikat kabel wayar di tepi Jalan Sepang-Salak.

Mayat mangsa ditemui berhampiran pondok pengawal di lokasi terbabit yang jauh dari penempatan dan dikelilingi kelapa sawit, sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.

Berita berkaitan:

  • Jumpa mayat tangan diikat
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 4:21 PM