GAMBAR hiasan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
GAMBAR hiasan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Fungsi aplikasi MySejahtera bagi amalan daftar masuk (check-in) ke premis dilihat sudah tidak lagi relevan apatah lagi negara kini dalam fasa peralihan ke endemik.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam Dr Hanafiah Bashirun berkata, aplikasi itu tidak lagi relevan disebabkan sebelum ini MySejahtera dibangunkan bertujuan pengesanan kontak rapat bagi memudahkan ujian saringan dibuat.

Katanya, apabila kerajaan mengumumkan kontak rapat, kuarantin dan ujian saringan sudah tidak perlu dilaporkan, maka penggunaan utama MySejahtera dilihat tidak lagi relevan untuk menangani jangkitan Covid-19.

"Apabila kita sudah mula beralih ke fasa peralihan ke endemik, MySejahtera semakin tidak diguna pakai, malah dari segi penguatkuasaan di premis pula sudah tidak terlalu ketat.

"Selain itu, rata-rata rakyat Malaysia sudah lengkap dua dos vaksin dan pada pendapat saya sudah tiba masanya kerajaan memanfaatkan aplikasi ini untuk objektif lain

"Sebagai contoh, aplikasi MySejahtera bukan sahaja untuk covid, bahkan boleh disesuaikan untuk digunakan bagi rekod kesihatan peribadi dengan memasukkan input kesihatan pemiliknya termasuk sejarah penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan lain-lain.

"Apabila individu pergi ke klinik atau hospital, mereka boleh gunakan platform aplikasi terbabit dan apabila diimbas semua sejarah pesakit boleh dikesan ," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, melalui aplikasi itu juga input maklumat jenis ubat-ubatan yang diambil juga boleh disimpan dan disemak.

Beliau berkata, secara ringkasnya, MySejahtera boleh disesuaikan untuk digunakan sebagai rekod kesihatan peribadi kerana ia sudah dipautkan kepada maklumat peribadi individu dan tidak boleh dipindah milik.

"Pada masa akan datang, kita juga boleh menggunakan MySejahtera ini untuk membuat temujanji di klinik atau hospital.

"Aplikasi yang dibangunkan berjuta ringgit ini sebaiknya dimanfaatkan sepenuhnya terutama bagi keperluan sistem rekod perubatan yang selamat dan mudah diakses oleh pihak penjagaan kesihatan.

"Lebih penting, sekarang ini apabila kita sebut mengenai endemik, mentaliti rakyat perlu tahu apa yang patut dilakukan dalam fasa ini iaitu bila perlu kuarantin, bila harus membuat ujian saringan dan sebagainya.

"Selain itu, walaupun kita sudah memasuki fasa endemik jangan lupa untuk tetap memakai pelitup muka dan menjaga pematuhan prosedur standard operasi (SOP) sedia ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 4:26 PM