PENGGUNAAN MySejahtera masih relevan berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19 yang belum berakhir. FOTO Arkib NSTP
PENGGUNAAN MySejahtera masih relevan berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19 yang belum berakhir. FOTO Arkib NSTP
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Penggunaan MySejahtera masih relevan dalam usaha menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia walaupun negara kini dalam fasa peralihan endemik.

Ketua Pegawai Perniagaan merangkap Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MYSJ Sdn Bhd, Aiza Azreen Ahmad berkata, penggunaan MySejahtera masih relevan berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19 yang belum berakhir.

"Penggunaan bukan setakat pengesanan kontak rapat tetapi buat masa ini dari segi dunia kita lihat Covid-19 ini tidak pergi lagi.

"Kita ambil contoh Shanghai sudah tutup semua dan ada akta semua orang perlu diuji untuk menentukan sama ada positif atau negatif Covid-19.

"Semalam pun beberapa penerbangan di London terpaksa ditukar jadual sebab kakitangan di lapangan rata-rata positif.

"Jadi, saya rasa pengunaan MySejahtera dalam peralihan endemik masih berteraskan untuk menyelamatkan rakyat Malaysia," katanya pada program Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3, hari ini.

Mengulas kegusaran orang ramai, beliau berkata, pihaknya memberi jaminan keselamatan data peribadi pengguna dilindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Kita tahu ada kegusaran dan keluhan dan ada juga pihak yang sensasikan isu ini.

"Memang kita bekerjasama dengan kerajaan buat masa ini, apa saja yang kita bina dalam apliskasi itu adalah untuk pengurusan pandemik, jadi kita akur dengan kerajaan.

"Tidak wujud kegunaan data untuk tujuan lain kerana semua data pengguna itu dilindungi Akta 342 dan PDPA.

"Sebenarnya data yang kita ada ini selepas 30 hari, kita arkibkan dan tiada 'demilitarized' zon dan selepas 90 hari, data itu akan menjalani pemadaman data, semuanya dibuat pada waktu tengah malam, jadi tiada campur tangan manusia," katanya.

Menurutnya, sehingga kini MySejahtera mempunyai 47 juta pengguna berdaftar dengan 29 juta daripadanya pengguna aktif.

Mengulas isu sama, peguam, Datuk Mohd Haaziq Pillay berkata, MySejahtera masih relevan kerana diiktiraf dunia.

"MySejahtera masih perlu sebab kita masih belum keluar dari Covid-19 ini.

"Banyak manfaat MySejahtera, contohnya ramai perlukan vaksin, jadi macam mana kita hendak hubungi 47 juta pengguna itu sama seperti golongan 60 tahun ke atas perlu dapatkan penggalak, bagaimana hubungi mereka kalau bukan dengan MySejahtera?.

"Satu lagi saya ke luar negara menggunakan sijil vaksinasi (MySejahtera), memang mereka iktiraf apa saja dikeluarkan KKM (Kementerian Kesihatan).

"Jadi rakyat Malaysia jangan khuatir, Akta 342 ini membendung penularan Covid-19, tiada selain itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 5:43 PM