GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Membayar barangan runcit dengan menggunakan wang kertas RM100 palsu bagi mendapatkan baki wang tulen.

Begitu taktik licik digunakan dua lelaki untuk memperdayakan mangsa ketika berbelanja termasuk menggunakan wang kertas tulen yang diselitkan bersama wang palsu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kegiatan kedua-dua suspek berusia 21 dan 25 tahun terbongkar apabila mereka berjaya ditahan pada 10.40 pagi semalam.

Menurutnya, suspek dikesan akan mengunjungi premis yang mempunyai ramai pelanggan selain memilih kaunter juruwang sibuk sehingga menyebabkan mereka terlepas pandang untuk memeriksa wang palsu yang diberikan.

"Satu laporan diterima daripada orang awam pada 2 April lalu berhubung kegiatan penggunaan wang palsu di sekitar pusat bandar ini.

"Suspek berjaya ditahan di dua lokasi dan polis turut merampas sebuah kereta Perodua Axia, dua telefon bimbit bersama simkad serta sekeping wang kertas RM100," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, suspek masing-masing bekerja sebagai jurujual dan penghantar barangan tidak memiliki rekod jenayah.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2022 @ 5:39 PM