Anggota APMM menunjukan minyak masak dan kenderaan yang dirampas di Jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem, Lahad Datu. FOTO Ihsan APMM.
Anggota APMM menunjukan minyak masak dan kenderaan yang dirampas di Jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem, Lahad Datu. FOTO Ihsan APMM.
Juwan Riduan


Lahad Datu: Lima lelaki ditahan ketika cuba menyeludup keluar 4,080 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi di Jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem di sini.

Mereka yang terdiri daripada seorang warga tempatan dan empat warga asing berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 10.15 malam, 5 April.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, pihaknya melakukan serbuan di lokasi itu susulan maklumat awam mengenai aktiviti mencurigakan.

Katanya, hasil serbuan melalui laut dan darat menahan semua lelaki itu yang sedang memunggah kotak berisi minyak masak dari lori ke bot, dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

"Sebuah bot, dua lori berisi 240 kotak minyak masak dianggarkan berjumlah RM4,080 kilogram serta dua motosikal yang digunakan dalam kegiatan itu dirampas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Mohd Rizam berkata, anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM234,096 dan kes itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.

Sementara itu, katanya, kegiatan haram itu boleh memberi kesan kepada 2,040 keluarga yang bergantung kepada minyak masak bersubsidi.

"Zon Maritim Lahad Datu akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang sebarang perlanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan daerah ini," katanya yang meminta orang ramai menyalur maklumat ke talian 089-885727 atau MERS 999.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 11:27 PM