Datuk Rosol Wahid meninjau aktiviti jualan pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di perkarangan Masjid Kampung Telaga. FOTO NAZDY HARUN
Datuk Rosol Wahid meninjau aktiviti jualan pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di perkarangan Masjid Kampung Telaga. FOTO NAZDY HARUN
Nazdy Harun


Kuala Berang: Bagi mengelak berlaku pembaziran makanan terutama sepanjang Ramadan ini, pengusaha hotel dan restoran yang menyediakan bufet boleh memanfaatkan penggunaan mesin 'retort'.

Ia yang dikenali sebagai Thermal Decontamination yang berfungsi untuk membungkus makanan yang belum disentuh dan mampu disimpan untuk tempoh dua tahun.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, sepanjang Ramadan tahun lalu, sebanyak 17 tan sehari makanan dibuang di negara ini.

Menurutnya, berikutan itu mesin retort berharga RM38,000 sebuah yang belum meluas di negara ini boleh digunakan.

Katanya, setakat ini beberapa hotel tertentu di empat negeri iaitu Perlis, Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu sudah menggunakannya pada tahun lalu.

"Mesin berkenaan milik kerajaan dan ditempatkan di hotel tertentu untuk memudahkan pengurusan sesebuah hotel atau restoran di empat negeri berkenaan menghantar dan membungkus kembali makanan yang tidak dijamah pengguna terutama pada Ramadan.

"Daripada membazir dengan membuang makanan, lebih baik ianya dipek semula dan dijual atau disumbangkan kepada mana-mana pihak," katanya pada sidang media pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di perkarangan Masjid Kampung Telaga, di sini, hari ini.

Menurutnya, pemilik hotel atau restoran perlu membayar sedikit kos untuk khidmat ini dan ia terletak di bawah program bank makanan.

Katanya, kaedah seperti ini dapat mengelakkan berlakunya pembaziran makanan terutama pada Ramadan.

"Kaedah seperti itu boleh diperluaskan ke negeri-negeri lain kerana makanan yang belum dijamah itu sekiranya dipek kembali boleh bertahan hingga dua tahun," katanya.

Mengulas mengenai harga bufet yang mahal ditawarkan sesetengah hotel, beliau berkata, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan kerana ia tidak termaktub di dalam perundangan sedia ada.

"Pilihan di tangan pengguna, sama ada untuk mendapatkan juadah dengan harga mahal atau murah. Oleh itu, sebagai pengguna kita perlu bijak membuat keputusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 4:36 PM