GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Aizat Sharif


Kangar: Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) tidak bercadang untuk mengambil tindakan yang sama seperti Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menggantung tugas guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana, Hubungan dan Kerjasama Sempadan Perlis Ruzaini Rais berkata, setakat ini tiada cadangan untuk melakukan tindakan yang serupa di Perlis seperti yang dilaksanakan di Selangor.

"Sehingga kini hanya lapan guru Kafa di negeri ini yang masih tidak mengambil suntikan vaksinasi Covid-19 disebabkan masalah kesihatan seperti komplikasi bersalin dan sebagainya.

"Kita (JAIPs) tidak bercadang untuk menggantung tugas mereka namun begitu kita masih meneruskan kaedah memujuk dan menasihati kepada kelompok guru ini bagi memastikan guru Kafa di Perlis lengkap divaksinasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (Dun) Perlis ke-14 di Kompleks Dun Perlis, di sini hari ini.

Isnin lalu, seramai 57 guru Kafa di Selangor yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 dikenakan tindakan gantung tugas selama dua bulan bermula bulan ini.

Tindakan itu dibuat dengan berpandukan ketetapan dikeluarkan Jais berdasarkan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan perkara sama kepada pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin.

Dalam hal sama juga, Pengarah Jais Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dilaporkan berkata, semua guru berkenaan diberi masa untuk mendapatkan vaksin Covid-19 dalam tempoh penggantungan itu.

Namun begitu, jika guru terbabit masih berdegil dan tidak mahu mengambil suntikan vaksin berkenaan, maka satu tindakan drastik iaitu tindakan tamat perkhidmatan akan dilaksanakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 1:17 PM