Mohd Shahzihan Ahmad
Mohd Shahzihan Ahmad
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Seramai 57 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor yang enggan mengambil suntikan vaksin Covid-19 dikenakan tindakan gantung tugas selama dua bulan mulai bulan ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, semua guru berkenaan diberi masa untuk mendapatkan vaksin Covid-19 dalam tempoh gantung tugas itu.

Beliau berkata, sekiranya guru berkenaan masih berdegil dan tidak mahu mengambil suntikan vaksin, tindakan tamat perkhidmatan akan dilaksanakan.

"Tindakan itu dibuat berpandukan ketetapan dikeluarkan JAIS berdasarkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan perkara sama kepada pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin.

"Seramai 57 guru KAFA di negeri ini mula dikenakan tindakan gantung tugas dua bulan sejak awal bulan ini hingga April depan.

"Dalam tempoh ini (gantung tugas), mereka boleh melengkapkan pengambilan vaksin masing-masing dan jika mereka masih degil, tindakan tamat perkhidmatan akan dilaksanakan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada September tahun lalu, Sultan Selangor menzahirkan dukacita dan kecewa apabila hanya 203 daripada 873 guru KAFA, ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan jurunikah di negeri ini yang hadir program vaksinasi khas Covid-19 Frontliner JAIS.

Menerusi satu kenyataan dimuatnaik di Facebook Selangor Royal Office, lebih mendukacitakan baginda apabila 96 daripada 203 yang hadir menolak untuk divaksin.

Justeru, baginda bertitah, nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin akan diteliti dan satu ketetapan berhubung tindakan akan diambil terhadap mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 12:32 PM