BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 0.4 peratus daripada jumlah kuota khas diperuntukkan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam program Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) telah diisi sehingga akhir Februari 2022.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan telah mengumumkan kuota khas sekurang-kurangnya satu peratus peluang pekerjaan bagi OKU melalui program MySTEP 2022 daripada sasaran keseluruhan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini.

"Lebih RM40 juta telah diperuntukkan melalui pelbagai inisiatif termasuk penambahbaikan infrastruktur dan menaik taraf bangunan kerajaan agar lebih mesra OKU.

"Pelaksanaan kuota khas OKU ini adalah bergantung kepada jumlah pengambilan pekerja yang dibuat kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengikut ketetapan prosedur pengambilan masing-masing," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkaitan golongan OKU yang telah mendapat manfaat melalui program MySTEP.

Zafrul berkata kerajaan menyeru semua pihak terus bekerjasama dalam menyediakan peluang pekerjaan yang bersesuaian melalui kuota khas MySTEP kepada golongan rentan dan OKU.

"Kerajaan harap golongan ini akan terus menyokong inisitif kerajaan dengan mengambil bahagian serta menyertai MySTEP sama ada dalam sektor awam atau GLC," katanya.

Sementara itu, Zafrul berkata setakat 15 Mac 2022, secara keseluruhan program MySTEP telah berjaya menempatkan hampir 11,000 pekerja dalam pelbagai kementerian dan GLC dengan 90 peratus daripada jumlah tersebut ditempatkan di sektor awam.

Bagi Program Penempatan Latihan Kerjaya Graduan Bersama Industri (PROTÉGÉ), sebanyak 507 peserta telah berjaya ditempatkan setakat 28 Feb 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 1:12 PM