HISHAMMUDDIN menaiki kenderaan Weststar Rapid Ranger yang dipamerkan sempena DSA dan NATSEC 2018 di MITEC, Kuala Lumpur, semalam.
HISHAMMUDDIN menaiki kenderaan Weststar Rapid Ranger yang dipamerkan sempena DSA dan NATSEC 2018 di MITEC, Kuala Lumpur, semalam.
Mohd Fauzi Abdullah dan Mohd Azam Shah Yaacob dan Kalbana Perimbanayagam

Kuala Lumpur: “Kejayaan Malaysia menganjurkan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia 2018 (DSA 2018) serta Pameran Perkhidmatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2018 amat membanggakan dan wajar dipuji,” ujar Menteri Pertahanan dan Industri Aeroangkasa Kazakhstan Beibut Atamkulov ketika ditemui di ruang pameran DSA dan NATSEC semalam.

Menurutnya, pameran berlangsung selama empat hari di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, disifatkan luar biasa apabila berjaya mengumpulkan 1,500 pempamer dari 60 negara.

“Pameran itu menghimpunkan pelbagai teknologi dan kelengkapan keselamatan serta pertahanan terkini dari pelbagai negara sesuai dengan cabaran dan keperluan semasa.

“Pameran ini sekali gus membuktikan ekonomi Malaysia yang kukuh dan berkembang. Saya dapat berkongsi pengetahuan dan pada masa sama berpeluang melihat aset pertahanan terbaru,” katanya.

Sementara itu Menteri Pertahanan II Brunei Pehin Datu Lailaraja Dato Paduka Seri Awang Halbi Mohd Yussof berkata, DSA dan NATSEC 2018 adalah pentas terbaik untuk berinteraksi dan berbincang mengenai aspek keselamatan serta ancaman khususnya di rantau Asia.

Menurutnya, kejayaan Malaysia menganjurkan acara itu yang memasuki hari kedua semalam membolehkan pihaknya bertukar pandangan mengenai cabaran pertahanan dan keselamatan pada masa kini.

DR Ahmad Zahid meluangkan masa melawat pameran DSA dan NATSEC 2018, semalam.
DR Ahmad Zahid meluangkan masa melawat pameran DSA dan NATSEC 2018, semalam.

Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen berkata, menerusi pameran itu hubungan bilateral antara Singapura dan Malaysia terutama dalam konteks pertahanan dapat diperkukuh.

“Paling utama kebaikan persidangan dan pameran ini adalah wakil setiap negara yang terbabit dapat duduk semeja dan berbincang.

“Malah dalam perbincangan saya dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Menteri Pertahanan) pada hari ini (semalam), pelbagai inisiatif dicadang serta dibincangkan.

“Beliau sendiri (Hishammuddin) memaklumkan ingin melihat pertalian erat dapat dijalin antara Singapura dan Malaysia khususnya dalam mengekang ancaman keganasan yang menular di rantau Asia Tenggara,” katanya kepada wakil media selepas menutup Rundingan Meja Bulat Panglima-Panglima Tentera Darat yang disertai 19 negara sempena DSA dan NATSEC 2018, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 3:27 AM