Anggota Hazmat memeriksa lokasi lori yang membawa asid sulfrik terbalik di simpang tiga Pondok Labu, Bukit Mertajam hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota Hazmat memeriksa lokasi lori yang membawa asid sulfrik terbalik di simpang tiga Pondok Labu, Bukit Mertajam hari ini. Foto Ihsan JBPM
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Pemandu lori yang membawa muatan tujuh tong asid sulfrik cedera di kepala selepas kenderaan dipandunya terbalik di simpang tiga Pondok Labu, Jalan Sungai Labu di sini, petang hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam dengan bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) BBP Perai ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada 4 petang berhubung kemalangan itu.

"Sebaik tiba didapati kemalangan itu membabitkan sebuah lori lima tan jenis Isuzu membawa muatan asid sulfrik sebanyak tujuh tong yang mana setiap satu berkapasiti 1,500 liter terbalik.

"Pemandu lori berkenaan yang berusia lingkungan 50-an berjaya keluar dengan sendiri dan dia dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut selepas mengalami kecederaan di kepala " katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat dua daripada tujuh tong yang dibawa bocor dan tertumpah di tepi jalan berkenaan.

"Pada ketika ini anggota bomba sedang mengenal pasti sekiranya ada bahan kimia lain di lokasi kemalangan dengan dibantu pihak syarikat pemandu lori terbabit sebelum menjalankan kerja-kerja pembersihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 6:49 PM