LAPORAN portal Harian Metro semalam.
LAPORAN portal Harian Metro semalam.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan menyegerakan proses vaksinasi kepada guru guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai masjid dan penolong pendaftar nikah yang enggan divaksin sebaik menerima senarai penuh daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, beliau sudah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj bagi membincangkan perkara ini, semalam.

"JKNS dan Jais sudah sepakat untuk mengadakan satu sesi khusus kepada mereka.

"Saya sudah meminta senarai penuh dan tarikh daripada Pengarah Jais (Datuk Mohd Shahzihan Ahmad) semalam.

"Sekarang, kita sedang tunggu senarai penuh dan tarikh sesuai daripada Jais untuk melaksanakan vaksinasi khusus kepada individu berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Sha'ari berkata, pemberian vaksin kepada individu terbabit akan diberikan sekali gus pada satu tarikh khas dan di tempat yang sudah dipersetujui.

Terdahulu, Mohd Shahzihan dalam satu kenyataan berkata, Jais dan JKNS akan mengendalikan program vaksinasi khas kepada guru KAFA, pegawai masjid dan penolong pendaftar nikah yang enggan divaksin di Selangor.

Semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dalam titahnya menzahirkan dukacita di atas keengganan sejumlah guru KAFA, pegawai masjid dan penolong pendaftar nikah untuk divaksin.

Baginda mengingatkan kepada pihak terbabit bahawa mereka berkemungkinan tidak dibenarkan meneruskan tugas jika tidak divaksin.

Baginda bimbang kerana ia akan membahayakan diri sendiri dan orang ramai terutamanya pelajar.

Berita berkaitan:

  • Ramai guru KAFA dan sekolah kebangsaan enggan divaksin
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 4:28 PM