ISMAIL Sabri melakukan gimik perasmian ketika majlis perasmian Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Omar (kiri) dan Presiden DPUKM, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ISMAIL Sabri melakukan gimik perasmian ketika majlis perasmian Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Omar (kiri) dan Presiden DPUKM, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kerajaan sudah membuat persiapan rapi bagi menghadapi Revolusi Industri Ke-4 atau IR4.0 yang membawa pelbagai teknologi baharu terutamanya pendigitalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MyDIGITAL adalah satu inisiatif yang mencerminkan aspirasi kerajaan mentransformasikan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang berpacukan pendigitalan dan peneraju serantau dalam ekonomi digital.

"Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR menggariskan usaha dan inisiatif dalam mencapai aspirasi MyDIGITAL.

"Justeru, saya berharap usahawan menguasai teknologi baharu ini khususnya pendigitalan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus yang sedang berkembang pesat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 di sini, malam ini.

Ismail Sabri berkata, pendigitalan juga dapat membantu produk dari luar bandar menembusi pasaran yang lebih luas.

"Bagi mencapai hasrat ini, kerjasama strategik antara usahawan dengan agensi kerajaan perlu dieratkan supaya setiap inisiatif yang dilaksana dapat diterjemahkan.

"Saya berharap usahawan di bawah naungan Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) terus berusaha dan memberi komitmen dalam bidang perniagaan untuk terus maju," katanya.

Beliau berkata, golongan usahawan mempunyai peranan yang sangat besar untuk memastikan negara kita terus makmur dengan ekonomi berkembang dengan lebih pantas.

"Oleh itu, semua usaha yang dilaksanakan oleh DPUKM termasuk Hari Usahawan Negara ini wajar diteruskan dan menjadi acara tahunan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 10:07 PM