Mohamed Farid Noh dan Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Johor dibarisi pelbagai latar belakang profesional berkelayakan tinggi yang kesemuanya pertama kali dilantik menjawat jawatan berkenaan.

Pecahan latar belakang Exco dilantik termasuk empat peguam, guru, perunding pendidikan awal kanak-kanak serta ahli perniagaan.

Buat pertama kalinya juga barisan Exco Johor dibarisi dua wanita selain dua berbangsa Cina.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid yang juga Adun Semerah berkata, mandat diberikan itu adalah penghargaan golongan muda yang diberi kepercayaan bagi menerajui barisan kepimpinan kerajaan negeri Johor.

Katanya, beliau akan memastikan setiap tugasan yang dipikul mampu menjayakan dasar kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

"Saya akan memulakan tugasan esok dan melihat apa isu, permasalahan dan penambahbaikan yang diperlukan hasil perbincangan dan pertemuan bakal dilakukan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon yang juga Adun Yong Peng berkata, beliau tidak akan berlengah untuk memulakan tugasan kerana portfolio dipikul itu adalah sesuatu yang penting ketika negara akan beralih ke fasa endemik.

Malah susulan pembukaan sempadan Johor, katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Saya akan berusaha sebaik mungkin dan tidak akan menghampakan pengundi yang memberi saya peluang menjadi Adun dan kini menggalas tugasan sebagai Exco," katanya.

Sementara, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang juga ADUN Bukit Permai berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan kesejahteraan penduduk.

"Peranan saya sebagai pemudah cara bagi memastikan semua penduduk termasuk B40 dan di bawahnya tidak terlepas pandang," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri Johor, Norliza Noh yang juga Adun Johor Lama berkata, dia bersyukur atas mandat berkenaan dan akan berusaha memikul portfolio berkenaan dengan sebaiknya.

"Saya akan berjumpa ketua-ketua jabatan yang berkaitan dahulu mulai esok.

"Saya akan berusaha bagi memastikan pendidikan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan seimbang dan harmoni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2022 @ 4:14 PM