KEMALANGAN membabitkan dua kenderaan di Kilometer 30 Jalan Sandakan-Lahad Datu. FOTO Ihsan Bomba
KEMALANGAN membabitkan dua kenderaan di Kilometer 30 Jalan Sandakan-Lahad Datu. FOTO Ihsan Bomba
Juwan Riduan


Lahad Datu: Tiga maut manakala dua parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 30 Jalan Sandakan-Lahad Datu, berhampiran Ladang Mensuli, di sini, pagi tadi.

Identiti ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia belum dapat dikenal pasti setakat ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.04 pagi berhubung kemalangan membabitkan pacuan empat roda Land Cruiser dan kereta Perodua Bezza.

Katanya, seramai lapan anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Lahad Datu dikejarkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

"Terdapat lima mangsa membabitkan kedua-dua kenderaan terbabit. Tiga daripada empat mangsa menaiki Perodua Bezza disahkan meninggal dunia, manakala seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dalam kenderaan itu parah.

"Pemandu Land Cruiser lelaki berusia 50 tahun turut parah. Mangsa yang parah (remaja perempuan dan pemandu Land Cruiser) dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, maklumat mangsa yang terkorban tidak dapat diperoleh setakat ini dan operasi ditamatkan pada 12 tengah hari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 5:09 PM