Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Status Menteri Besar Johor ke-19 terus jadi tanda tanya apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengunci mulut sebaik kembali daripada menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, petang tadi.

Ahmad Zahid dilihat kembali ke Pejabat Perhubungan Umno Johor jam 4 petang tadi selepas hampir satu jam menghadap Sultan Ibrahim.

Beliau yang juga Presiden Umno kemudian diiringi Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, naik ke tingkat tiga bagi mengadakan perbincangan.

Kesemua pemimpin berkenaan dilihat turun setengah jam kemudian sebelum bergegas meninggalkan Pejabat Perhubungan Umno Johor.

Usaha mendapatkan komen daripada Ahmad Zahid, Mohamad dan Hasni juga tidak berjaya apabila mereka terus mengunci mulut apabila ditanya pengamal media yang menunggu sejak jam 2.30 petang tadi.

Mereka dilihat meninggalkan perkarangan pejabat itu dalam kenderaan berbeza.

Difahamkan, ketiga-tiga pemimpin itu ke Kediaman Rasmi Menteri Besar di Saujana bagi mengadakan perbincangan tertutup susulan pertemuan dengan Sultan Ibrahim.

Setiausaha Kerja Umno Johor, Pandak Ahmad, turut enggan mengulas lanjut apabila didekati pengamal media.

"Saya tidak boleh komen apa-apa. Maaf sangat-sangat ya. Tunggulah, jika ada sebarang pengumuman akan dimaklumkan Pejabat Umno Johor nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 5:08 PM