GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 15,259,493 individu dewasa atau 64.9 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini sudah menerima dos penggalak Covid-19 setakat semalam.

Berdasarkan data menerusi laman web COVIDNOW, sejumlah 22,934,341 atau 97.5 peratus daripada populasi sama sudah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 23,210,853 atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, sebanyak 1,144,379 individu atau 32.2 peratus kumpulan itu sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,836,325 individu atau 91.2 peratus daripada populasi itu sudah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,936,489 atau 94.4 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan sebanyak 46,688 dos vaksin diberikan meliputi 25,471 dos pertama, 1,047 dos kedua dan 20,170 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 68,113,082.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 77 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam dengan Pulau Pinang tertinggi iaitu 12 kes, diikuti Selangor dan Kelantan masing-masing dengan 11 kes.

Kedah merekodkan sembilan kes, Johor (lapan), Perak (tujuh), Perlis dan Terengganu masing-masing dengan empat kes, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur masing-masing dengan tiga kes, Sabah (dua) serta Sarawak, Pahang dan Melaka masing-masing dengan satu kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2022 @ 9:25 AM