Mayat mangsa berhampiran kenderaan yang terbabas di Lebuhraya Utara Selatan di Tapah hari ini. Foto Ihsan PDRM
Mayat mangsa berhampiran kenderaan yang terbabas di Lebuhraya Utara Selatan di Tapah hari ini. Foto Ihsan PDRM
Rosman Shamsudin


Tapah: Kanak-kanak perempuan maut, manakala adiknya patah kaki dan tangan kiri selepas kereta dipandu bapanya terbabas di Kilometer 340.3 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini, tengah hari ini.

Dalam kejadian pada 1.30 tengah hari, N Ashvika berusia 11 tahun yang duduk di bahagian penumpang belakang dipercayai tercampak melalui cermin belakang dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Adik perempuannya yang cedera dikenal pasti sebagai Yaashika dan berusia enam tahun.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal pihak polis mendapati bapa mangsa yang berusia 38 tahun bersama ibu mangsa, 37, bersama tiga anak perempuan mereka dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Selangor.

Menurutnya, tiba di tempat kejadian dipercayai kereta dipandu lelaki itu hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar besi pembahagi jalan.

"Pemandu kereta berkenaan yang beralamat di Ayer Hitam, Pulau Pinang dan isterinya yang duduk di bahagian penumpang hadapan serta seorang lagi anak perempuannya tidak cedera.

"Mayat kanak-kanak berkenaan dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk proses bedah siasat selepas menjalani ujian Covid-19.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 7:08 PM