Foto hiasan
Foto hiasan
Omar Ahmad

Johor Bahru: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menafikan ada mengeluarkan kenyataan media tentang pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus untuk orang ramai yang pulang untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

PLUS menerusi satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya memandang serius perbuatan menggunakan logo syarikat untuk mengelirukan orang ramai.

"PLUS bekerjasama dengan pihak berwajib untuk mengambil tindakan terhadap individu serta pihak terbabit (yang menularkan kenyataan tidak benar).

"Selain daripada agensi media yang sah, semua kenyataan media PLUS juga disiarkan menerusi saluran komunikasi rasmi syarikat ini termasuklah media sosial," katanya.

Sementara itu, PLUS turut memaklumkan purata jumlah kenderaan harian di Lebuhraya Utara-Selatan kekal sebanyak 1.4 juta kenderaan setiap hari sepanjang kempen PRN Johor.

"Seperti hari-hari biasa, PLUS akan memastikan perjalanan orang ramai di semua rangkaian lebuh raya kami selamat dan selesa pada setiap masa.

"Pada masa yang sama, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter PLUSTrafik atau memuat turun Aplikasi PLUS untuk membantu mereka merancang perjalanan mereka.

"PLUS juga ingin menasihatkan agar orang ramai supaya sentiasa memastikan baki kad Touch 'n Go dan eWallet mereka mencukupi untuk melengkapkan transaksi tol mereka.

"Pengguna sistem pembayaran tol RFID diingatkan supaya menggunakan lorong RFID ketika masuk dan keluar dari lebuh raya bagi mengelakkan kesulitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 9:41 PM