ANGGOTA PGA menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi awal. FOTO Bernama
ANGGOTA PGA menunaikan tanggungjawab pada hari mengundi awal. FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh

[email protected],my

Johor Bahru: Suasana hujan tidak menghalang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada pelbagai unit untuk mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, yang bermula sejak 8 pagi.

Tinjauan di Dewan Dato Onn Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, mendapati anggota PDRM tetap beratur di hadapan dewan berkenaan, walaupun cuaca hujan.

Dewan Dato Onn adalah antara Pusat Mengundi Awal yang dibuka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan sebahagian anggota PDRM mengundi.

Turut dilihat hadir meninjau proses pengundian awal di dewan berkenaan adalah calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Stulang, Ang Boon Heng dan calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) bagi Dun Stulang, Muhammad Saiful Bahri Sahari.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, turut dijadualkan mengundi awal di dewan berkenaan.

Sebanyak 63 pusat mengundi membabitkan 83 saluran mula dibuka bermula 8 pagi ini bagi membolehkan 22,531 pengundi awal terdiri anggota tentera dan polis serta pasangan menunaikan tanggungjawab mereka.

Anggota pasukan keselamatan terdiri daripada PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing layak mengundi hari ini.

Dewan Dato Onn IPK) Johor di Jalan Tebrau, di sini serta 10 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negeri dan beberapa pejabat kerajaan turut dijadikan sebagai pusat mengundi.

Anggota tentera akan mengundi di Kem Mahkota di Kluang, Kem Tebrau di Ulu Tiram, Kem Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Batu Pahat dan Kem Rejimen Keempat Artileri Diraja (4RAD) di Segamat.

Sementara itu, anggota PGA dan pasangan masing-masing akan mengundi di Batalion ke-5, pasukan PGA di Simpang Renggam di Kluang dan Batalion ke-6 PGA di Bakri, Muar.

Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi pada PRN kali ini, dengan hari pengundian PRN Johor ditetapkan Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 10:40 AM