Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Pesakit Covid-19 yang berisiko tinggi akan dirawat menggunakan ubat-ubatan antiviral mulai bulan ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, seramai 110,000 pesakit akan menjadi kelompok pertama dirawat dengan menggunakan ubat antiviral keluaran Pfizer yang akan diterima oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada bulan ini.

"Ubat antiviral yang diperoleh itu akan mula diberikan kepada pesakit bagi merawat dan melindungi mereka dari wabak itu.

"Kita kini mempunyai lebih banyak 'senjata' yang akan digunakan kita dalam melawan Covid-19," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Persidangan Tahunan Dialisis, di sini hari.

KHAIRY menyampaikan ucapan perasmian di Persidangan Dialisis Tahunan Ke 16. FOTO Eizairi Shamsudin.
KHAIRY menyampaikan ucapan perasmian di Persidangan Dialisis Tahunan Ke 16. FOTO Eizairi Shamsudin.

Hadir sama Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF), Datuk Dr Zaki Morad.

Khairy berkata, jika penggunaan ubat antiviral ini berkesan pihaknya akan menambah pembelian ubat berkenaan.

"Ada dua lagi yang kita akan beli iaitu Molnupiravir dan Astra Zanecca namun itu belum dimuktamadkan," katanya.

Mengulas berhubung pembukaan semula sempadan negara, Khairy berkata, ia akan diumumkan oleh Perdana Menteri minggu hadapan.

"Ia bertujuan memberi masa kepada sektor yang terbabit seperti Jabatan Imigresen, syarikat penerbangan, perhotelan dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 1:09 PM