ANTARA calon PEJUANG yang hadir bagi menduduki ujian psikometrik. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANTARA calon PEJUANG yang hadir bagi menduduki ujian psikometrik. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Seramai 42 calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menjalani ujian psikometrik sebagai membuktikan kesungguhan mereka memerangi rasuah dan mengangkat nilai integriti calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ujian dikendalikan badan bukan kerajaan (NGO), Rasuah Busters Tag (RBTag) sebagai kayu pengukur kebolehpercayaan individu menjadi calon pilihan raya yang mungkin diangkat sebagai pemimpin negeri selepas ini.

Calon PEJUANG yang ditemui menyambut baik ujian psikometrik yang diduduki itu dan menyifatkannya bukan sahaja sebagai bukti keikhlasan mereka sebagai calon malah menjadi nilai tambah untuk ditunjukkan kepada pengundi di kawasan masing-masing.

Calon bagi DUN Tangkak, Muhammad Airel Zabridin, 26, yang juga calon termuda PRN Johor berkata, ujian psikometrik itu mampu dijadikan kayu pengukur integriti dan ketelusan setiap calon PRN.

"Saya tidak gentar menduduki ujian psikometrik ini malah ia seharusnya perlu diambil setiap calon yang bertanding bagi menunjukkan nilai integriti dan kesungguhan.

"Sebanyak 50 soalan diberikan walaupun sedikit mencabar pemikiran namun tidaklah pula terlalu sukar. Bagi saya, nilai integriti calon terutama dalam membasmi rasuah sangat penting dan boleh digunakan jika diangkat menjadi pemimpin negeri nanti," katanya ditemui selepas menjalani ujian berkenaan.

Bagi calon DUN Sungai Balang, Intan Nadira Shafika Mustafa Kamal, 28, berkata soalan ujian psikometrik yang diberikan adalah situasi yang dilalui dalam kehidupan.

"Soalannya tidaklah terlalu sukar namun kita perlu jujur dalam menjawab ujian ini kerana ia menjadi kayu ukur nilai integriti sebenar setiap calon.

"Apabila Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukriz Mahathir mewajibkan kesemua 42 calon parti menduduki ujian psikometrik ini, tiada sebarang bantahan daripada kami malah ia sesuatu yang mengujakan.

"Keputusan paling cemerlang akan diberikan tiga bintang dan ia sebagai motivasi kepada semua calon untuk melakukan terbaik dan membawa nilai tambah ini semasa berkempen nanti," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah RB Tag Rasuah Busters, Datuk Rosmadi Ghazali berkata kesemua calon PEJUANG dibahagikan kepada tiga sesi ujian bermula jam 10 pagi dan dijangka selesai pada jam 4 petang ini.

Katanya, ujian psikometrik cukup penting diduduki setiap calon kerana boleh meningkatkan tahap kesedaran terhadap pelbagai elemen rasuah yang boleh berlaku dan terdedah di dalam masyarakat pada masa ini.

"Kami sebenarnya menghantar jemputan kepada semua parti bertanding pada PRN Johor untuk menduduki ujian psikometrik ini dan menerima maklum balas yang baik dari PEJUANG.

"Ujian psikometrik ini adalah elemen penting mengukur nilai integriti calon kerana setakat ini kita tiada pengukur untuk menilai bagaimana seseorang individu itu boleh dipilih sebagai pemimpin ditambah dengan isu rasuah yang perlu diperangi.

"Kami berharap selepas ini calon bagi setiap pilihan raya menjalani ujian ini bagi melahirkan pemimpin berintegiriti menolak rasuah. Ujian ini telah diamalkan oleh negara yang berada pada kedudukan 20 peratus berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (RCI) termasuk negara jiran Singapura," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Februari 2022 @ 2:01 PM