Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Oleh Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Pemuda Barisan Nasional (BN) yakin kesemua 14 calonnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mampu membentuk gagasan kerajaan yang kukuh dan stabil untuk masa depan negeri itu.

Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan pucuk kepemimpinan meletakkan kira-kira 25 peratus calon Pemuda daripada keseluruhan jumlah calon adalah perkembangan positif bahawa BN sentiasa mengikut kehendak dalam landskap politik terkini.

"Pemuda BN mengambil tanggungjawab dan amanah parti untuk bekerja kuat menerusi calon yang berintegriti, amanah dan tidak terpalit dengan kontroversi.

"Kesemua calon Pemuda juga adalah anak tempatan yang sudah konsisten bekerja dalam masyarakat setempat," katanya ketika ditemui selepas melawat persiapan jentera BN di pusat daerah mengundi (PDM) Parit Puasa, Parit Sulung dekat sini, malam tadi.

Katanya, ketika perbincangan mengenai calon, antara hasrat dibangkitkan kepimpinan dan Datuk Seri Hasni Mohammad juga menyatakan komitmen untuk mempunyai satu pasukan yang berpengalaman serta mereka yang boleh parti perkasakan daripada segi kepimpinan.

"Itu adalah aspirasi yang dilakukan dan calon yang kita tampilkan adalah yang bersih serta berintegriti," katanya.

Sementara itu, Asyraf Wajdi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO turut menyatakan keyakinan kepada Mohd Fared Mohd Khalid (Calon BN DUN Semerah) mampu merampas kembali kerusi berkenaan selepas tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan hanya 98 undi.

Menurut beliau, Mohd Fared yang berlatarbelakangkan profesional iaitu seorang peguam dan anak tempatan telah lama bekerja untuk rakyat.

"Insya-Allah saya yakin, sebab itu daripada awal kita di peringkat Pemuda BN memperjuangkan kepada kepimpinan supaya kita tampilkan calon yang bukan calang-calang latar belakangnya.

"Mohd Fared juga aktif dalam persatuan belia. Saya lantik beliau sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Johor. Dia antara rakan-rakan yang bersama membangunkan semula UMNO ketika hilang kuasa," katanya.

Pada PRU14, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Khuzzan Abu Bakar berjaya menewaskan calon BN, Mohd Ismail Roslan dengan hanya majoriti 98 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 4:38 PM